Anggota keselamatan menahan seorang lelaki yang cuba membakar dirinya di hadapan Kaabah.

MEKAH – Anggota keselamatan Arab Saudi menahan seorang lelaki yang cuba membakar dirinya di hadapan Kaabah.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan anggota keselamatan menahan seorang lelaki yang bersedia untuk mencurah bahan bakar ke tubuhnya.

Pegawai-pegawai keselamatan dan beberapa jemaah umrah mengelilingi lelaki itu sebelum dia dibawa keluar (daripada Masjidil Haram).

Jurcakap media pihak keselamtan Masjidil Haram, Sameh Al-Silmi berkata, lelaki yang berumur 40-an itu ditahan malam semalam selepas dia mencurahkan minyak tanah pada bajunya dan cuba membakar dirinya, lapor Al-Arabiya.

Beliau berkata, anggota keselamatan menyedari perkara itu dan menahannya.

Al-Silmi berkata, tindakan lelaki itu membuktikan bahawa dia menghidap penyakit mental dan tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

Sameh menafikan khabar angin bahawa lelaki tersebut ingin membakar Kaabah dan menekankan lelaki itu hanya mahu mencederakan dirinya sendiri.