KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mahu kerajaan melantik bekas pegawai kanan kerajaan yang berintegriti menerajui agensi yang menjaga kepentingan rakyat.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata, contoh bekas pegawai kanan kerajaan itu termasuklah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid.

“Kedua-dua sosok ini telah mencurahkan jasa besar kepada negara dan telah memperlihatkan kemampuan dan integriti mereka sebelum ini.

“Malah bukan mereka sahaja. Saya yakin ramai lagi nama-nama yang boleh dibariskan untuk menerajui agensi-agensi kerajaan dan memacunya ke tahap lebih baik daripada yang ada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Salahuddin mahu kerajaan menghentikan budaya melantik bekas menteri, ahli parlimen dan bekas menteri besar menerajui agensi seperti FELDA, FELCRA dan MARA.

“Tolonglah jangan jadikan agensi-agensi kerajaan ini seperti ‘tong sampah’ untuk menempatkan mereka yang tidak memiliki intergriti, kepakaran dan kelayakan, semata-mata hanya mahu meyambung talian hayat politik mereka,” ujarnya.-MalaysiaGazette