Home Politik Pemimpin BN Sabah perlu tolak budaya sabotaj

Pemimpin BN Sabah perlu tolak budaya sabotaj

hamisa samatTAWAU – Pemimpin Barisan Nasional di negeri ini perlu menolak budaya sabotaj antara satu sama lain kerana itu hanya melemahkan kubu BN, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat.

Hamisa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjong Batu berkata, sebaliknya pemimpin parti komponen BN perlu sefahaman dan bersatu padu untuk mengukuhkan parti.

“Sabah merupakan kubu kuat BN dan adalah menjadi agenda terpenting pembangkang untuk memecahbelahkan rakyat dan pimpinannya supaya mudah bagi mereka mengambil kesempatan daripada kelemahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Ziarah Kasih bersama masyarakat Kampung Tanjong Keramat Log Pond dan Kampung Bakau di sini, Selasa.

Hamisa berkata pihak pembangkang tidak mempunyai hala tuju dan perkara itu terbukti apabila mereka gagal mengotakan janji yang ditabur kepada rakyat di negeri ini.

“Lihat apa yang mereka lakukan di negeri-negeri yang diperintah, tiada satu pun yang berjaya dilakukan, jika ada pembangunan pun ia dilaksanakan oleh BN,” katanya lagi.

Sehubungan itu, menurut Hamisa, penting pada pilihan raya umum ke-14 ini agar rakyat memberi kemenangan kepada kerajaan BN supaya agenda pembangunan setiap negeri dapat diteruskan.

Katanya, rakyat harus sedar parti pembangkang tidak mampu membawa banyak kebaikan kepada rakyat di negeri ini dan pembangkang perlu ditolak.-MalaysiaGazette