Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak melancarkan manifesto Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu di Dewan Masyarakat Lundu.
LUNDU – Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini melancarkan manifesto dengan menggariskan 17 fokus utama untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Bertemakan ‘Bersama Kita Teruskan Perjuangan Tok Nan’, manifesto itu merangkumi komitmen BN Sarawak untuk meneruskan perjuangan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem demi rakyat di Tanjong Datu.

Manifesto itu dilancarkan Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di Dewan Masyarakat Lundu di sini, bagi menghadapi PRK DUN Tanjong Datu, 18 Feb ini.

Abang Johari berkata pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mei tahun lepas, rakyat memberi mandat yang besar kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Allahyarham Adenan untuk meneruskan usaha membangunkan Bumi Kenyalang.

“Tapi Allah lebih sayangkan beliau, hanya lapan bulan beliau meninggalkan kita, tetapi semangat Tok Nan masih bersama kita. Hari ini barisan kepimpinan BN berkumpul di Tanjong Datu untuk meneruskan usaha yang telah dijanjikan Tok Nan kepada Sarawak.

“Sebenarnya kita ialah pasukan Tok Nan…yang bertukar hanya kapten, saya menjadi kapten dan saya akan teruskan usaha-usaha yang telah diletakkan oleh Tok Nan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran manifesto itu yang turut dihadiri empat anak Allahyarham Adenan – Siti Rafidah, Hayati Hamidah, Abdul Aziz dan Azizul Annuar serta anggota parti komponen BN Sarawak.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata kerajaan negeri mempunyai pelan induk bagi Tanjong Datu iaitu pembangunan pelancongan dan kini hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

“Saya Menteri Pelancongan di bawah Tok Nan, beliau (Adenan) berkata kepada saya, tempat terbaik untuk pelancongan di Sarawak ialah Lundu dan Sematan. Saya telah merangka bagaimana nak bangunkan ekonomi berteraskan pelancongan. Kawasan ini bergunung, mempunyai laut yang sememangnya cantik dan ikan yang banyak, dan saya tahu ramai warga Singapura datang ke sini (Tanjong Datu) untuk memancing.

“Sejak Tun Abdul Taib Mahmud disambung Tok Nan dan kini saya, kita sentiasa memikirkan cara untuk teruskan pembangunan yang ada di kawasan Tanjong Datu dan tempat lain. Sebab itu kita letakkan orang yang selalu dengan Tok Nan (Datuk Amar Jamilah Anu) sebagai calon,” katanya.

Manifesto itu diterbitkan dalam empat bahasa – Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Iban.

Berikut 17 fokus dalam manifesto BN Sarawak untuk PRK Tanjong Datu:

1. Meneruskan usaha mengembalikan hak-hak Sarawak

2. Melindungi keselamatan rakyat daripada pencerobohan pendatang tanpa izin

3. Menghormati budaya, tradisi dan agama setiap rakyat

4. Mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat

5. Melindungi hak pemilik tanah hak adat Bumiputera

6. Memelihara dan melindungi alam sekitar

7. Menjaga kebajikan golongan kurang bernasib baik

8. Menyediakan lebih banyak rumah mampu milik dan kos rendah

9. Mempercepatkan pembinaan jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik dan telekomunikasi

10. Menambahbaik dan meluaskan liputan perkhidmatan kesihatan

11. Menggalakkan lebih banyak penyertaan dan mewujudkan peluang untuk wanita dalam aktiviti sosial-ekonomi

12. Membangunkan potensi dan meningkatkan peluang pekerjaan untuk para belia melalui program Bandar Belia 1Malaysia (1MYC)

13. Menggalakkan dan menyediakan pendidikan teknikal melalui ‘Centre of Technical Excellence’ (Centrexs)

14. Mengiktiraf pendidikan Cina dan memberi bantuan kepada sekolah Cina

15. Menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negeri Sarawak

16. Menambahbaik dan menyediakan lebih banyak premis perniagaan untuk usahawan

17. Mentransformasi Lundu dan Sematan sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak

— BERNAMA