Pihak berkuasa Indonesia menemukan kesemua mayat itu di perairan Laut Sebatik, Indonesia di kawasan Sungai Taiwan dan sekitar Laut Karang Unaran.
TAWAU – Polis mengesahkan setakat 11 pagi ini enam mayat dipercayai mangsa tragedi bot karam di perairan Batu Payung ditemukan, kata Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus.

Beliau berkata pihak berkuasa Indonesia menemukan kesemua mayat itu di perairan Laut Sebatik, Indonesia di kawasan Sungai Taiwan dan sekitar Laut Karang Unaran.

“Menurut maklumat Konsulat Indonesia, mayat berkenaan terdiri daripada mayat seorang lelaki dewasa, dua wanita termasuk seorang hamil dan tiga kanak-kanak lelaki.

“Kesemua mayat dibawa pihak berkuasa Indonesia ke Nunukan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Fadil berkata pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia sedang mengesan tujuh mangsa lain yang masih hilang.

Selasa lepas, bot laju yang membawa 15 warga Indonesia termasuk juragan, karam dipercayai dipukul ombak besar kira-kira lima hingga 10 minit selepas bertolak dari jeti Tinagat Batu Payung pada 5.30 petang ketika menuju Sungai Nyamuk Indonesia.

Dua penumpang bot tersebut bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke Pantai Batu Payung.

— BERNAMA