Sejumlah 1.34 juta pekerja asing tanpa izin di negara itu, 1.2 juta daripada mereka adalah pekerja rencam manakala 146,000 orang lagi bekerja dalam industri perikanan.
BANGKOK – Kerajaan Thailand menjangka negara itu bebas daripada pekerja migran tanpa izin apabila inisiatif untuk mendaftar 1.34 juta pekerja tanpa dokumen selesai menjelang 2022.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Mej Jen Kongcheep Tantravanich berkata pada masa ini ada 2.63 juta pekerja asing di Thailand, dengan 1.29 juta daripada mereka bekerja secara sah dan selebihnya pekerja haram.

“Kami akan akan mendaftarkan semua pekerja migran tanpa izin menjelang 2022,” katanya kepada media selepas mesyuarat mengenai pengurusan pekerja asing yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Jen Prawit Wongsuwon di Rumah Kerajaan hari ini.

Beliau berkata daripada sejumlah 1.34 juta pekerja asing tanpa izin di negara itu, 1.2 juta daripada mereka adalah pekerja rencam manakala 146,000 orang lagi bekerja dalam industri perikanan.

Kongcheep berkata, Thailand memerlukan pekerja migran untuk mengisi pekerjaan yang penduduk tempatan enggan mengisinya tetapi kehadiran mereka di negara ini perlu dikawal melalui peraturan dan prosedur yang sempurna.

Beliau bverkata negara itu mahu memastikan kebajikan pekerja migran terpelihara.

— BERNAMA