Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyampaikan sumbangan kit makanan #nafasprihatin kepada mangsa banjir di Pekan, Pahang baru-baru ini bersama Mohamad Yazif (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR – Bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini turut melibatkan kawasan pertanian milik peladang sebagai mangsa.

Menyedari keadaan itu, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) turut terpanggil untuk meringankan beban peladang terlibat.

Malah NAFAS telah menyediakan peruntukan khusus bagi Program Bantuan Banjir, #nafasprihatin.

Timbalan Pengurus Besar (Perkhidmatan) NAFAS, Mohamad Yazif Fadil berkata, setakat ini, sebanyak 1,500 kit makanan telah disediakan dan diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di empat negeri terlibat iaitu Johor, Pahang, Perak dan Selangor.

“Kit tersebut mengandungi makanan segera seperti biskut, makanan dalam tin, beras serta makanan kering jenama Peladang yang bernilai RM100 bagi setiap satu kit yang boleh bertahan selama tiga hari,” katanya baru-baru ini.

 Pengerusi NAFAS, Datuk Seri Saipolbahari Suib menyampaikan sumbangan makanan #nafasprihatin yang diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Muar, Johor, baru-baru ini.
Pengerusi NAFAS, Datuk Seri Saipolbahari Suib menyampaikan sumbangan makanan #nafasprihatin yang diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Muar, Johor, baru-baru ini.

 

Menurut Mohamad Yazif, selain bantuan kit makanan, misi bantuan #nafasprihatin turut menyumbangkan tenaga bagi membantu kerja-kerja pasca banjir membersihkan rumah mangsa, surau dan lain-lain premis terjejas yang memerlukan bantuan.

Mohamad Yazif yang juga komander yang mengetuai misi bantuan #nafasprihatin memaklumkan, program kali ini melibatkan seramai 45 sukarelawan kakitangan NAFAS yang memulakan operasi di bilik gerakan bermula pertengahan Disember tahun lepas dan dijangka selesai menjelang pertengahan bulan ini.

“Kami akan sentiasa berkomunikasi dengan ahli peladang melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mengenai perkembangan situasi banjir serta bantuan-bantuan yang diperlukan dari masa ke semasa.

“Selain memberi fokus pada bantuan kepada ahli Peladang, NAFAS turut memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang lain melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan membekalkan ayam mentah untuk dimasak di pusat pemindahan mangsa banjir,” katanya.

Misi bantuan #nafasprihatin yang dilancarkan sejak banjir besar yang melanda negara pada tahun 2014 itu akan diteruskan dengan menyediakan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan termasuk bantuan pasca banjir sebagai tanggungjawab sosial korporat pihaknya.-MalaysiaGazette