LANGKAWI – Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini untuk memperluaskan kawasan wilayah Persekutuan yang antaranya melibatkan Langkawi tidak dapat diterima oleh penduduk di pulau pelancongan ini.

Dari wakil rakyat sehinggalah kepada pengusaha teksi, kebanyakan penduduk yang ditemui tidak bersetuju dengan cadangan itu yang secara umumnya melihat idea itu tidak menampakkan sebarang manfaat kepada penduduk setempat.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuah, Nor Saidi Nanyan berpendapat cadangan menjadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan hanya akan menamatkan kedudukannya sebagai satu daripada kawasan naungan Kesultanan Kedah.

Menurutnya Langkawi merupakan jajahan penting di bawah naungan Kesultanan Kedah dan tidak wajar dijadikan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan.

“Apabila kita bercakap tentang (cadangan Langkawi dijadikan) Wilayah Persekutuan, seolah-olah (cadangan ini) menidakkan peranan Tuanku (Sultan Kedah yang menaunginya),” katanya kepada Bernama.

Nor Saidi berkata Tengku Adnan perlu meletakkan asas yang lebih kukuh dan penerangan yang jelas tentang faktor sebenar yang mendorong beliau untuk mengemukakan idea berkenaan.

Menurutnya kejayaan sebenar bukanlah semata-mata berasaskan pencapaian membawa pembangunan mega ke Langkawi tetapi lebih kepada membaiki taraf hidup penduduknya agar lebih baik lagi.

“Kami tidak mahu pembangunan fizikal yang berskala besar tetapi penduduk tempatan tidak mendapat peluang yang banyak (untuk meningkatkan taraf hidup),” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Teksi Langkawi, Ramli Ahmad pula menganggap cadangan itu boleh mengurangkan peluang rakyat tempatan untuk memiliki harta tetap di pulau ini.

Menurutnya, harga tanah mungkin akan melambung tinggi, menyebabkan mereka tidak mampu memilikinya, sekali gus ketinggalan dalam banyak aspek berbanding orang luar yang mempunyai kuasa beli lebih tinggi.

“Langkawi juga akan kehilangan suara di peringkat (Dewan Undangan) negeri kerana kalau sudah jadi Wilayah Persekutuan, kita akan (hanya) ada (anggota) Parlimen sahaja (sebagai wakil rakyat),” katanya.

Pada masa ini, selain DUN Kuah, sebuah lagi DUN di Langkawi adalah Ayer Hangat di mana penyandangnya adalah Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir berkata status Wilayah Persekutuan tidak sesuai dengan latar-belakang sejarah dan ekonomi pulau ini.

Katanya 90 peratus daripada penduduk Langkawi bergantung kepada sektor ekonomi dan sudah sebati menjadi sebahagian daripada rakyat Kedah yang setia kepada sultannya.

Menurutnya persatuan itu juga sudah merancang untuk menganjurkan satu Karnival Rakyat dalam bulan Mac ini sempena menyambut Hari Keputeraan Sultan Kedah dan ia akan menjadi acara tahunan.

“Cadangan untuk menjadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan akan hanya menjejaskan perancangan kami di peringkat tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, usahawan pelancongan Faiz Sazali berkata beliau tidak dapat melihat sebarang manfaat yang boleh diperoleh jika Langkawi menjadi sebuah Wilayah Persekutuan.

Menurutnya selama ini pun Langkawi telah berkembang pesat sebagai sebuah destinasi pelancongan terkenal tanpa perlu ditadbir secara langsung di peringkat Pusat.

Katanya cadangan ini juga berkemungkinan akan menimbulkan persaingan tidak sihat di antara usahawan tempatan dan usahawan dari luar.

“Sebagai anak muda Langkawi, saya risau jika Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan, kepentingan atau periuk nasi kami akan terancam dan terjejas,” katanya.

— BERNAMA