Donald Trump

WASHINGTON- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan arahan eksekutif larangan perjalanan baharu, lapor Reuters.

Sementara itu Chief of Staf Rumah Putih, Reince Priebus berkata, ia akan menambahkan lagi pertikaian terhadap larangan perjalanan yang sedia ada seperti dikeluarkan Trump sebelum ini di Mahkamah agung.

Tindakan Trump mengeluarkan arahan eksekutif melarang negara-negara Islam tertentu memasuki AS pada dua minggu lalu telah mencetuskan pertikaian undang-undang yang serius kepada pentadbiran Republikan itu selain turut menyebabkan protes di seluruh negara.

Hakim persekutuan di Seattle minggu lalu mengeluarkan arahan sekatan sementara (TRO) terhadap larangan perjalanan yang dikeluarkan Presiden AS.

Dalam satu lawatan mengejut bersama wartawan Air Force One ke Florida dari Washington, Trump berkata, beliau sedang mempertimbangkan arahan terbaharu yang mungkin dikeluarkan pada Isnin atau Selasa ini.

Turut sama di dalam penerbangan tersebut adalah isterinya, Melania, anak perempuan beliau, Ivanka, menantu, Jared Kushner dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan isteri, Akie.

Sebelum itu, pegawai Rumah Putih berkata, pihak pentadbiran tidak bercadang untuk membawa pertikaian itu ke Mahkamah Agung namun Priebus pada Jumaat lalu memberitahu wartawan, langkah sedemikian mungkin terpaksa diambil.

“Setiap satu pilihan mahkamah sudah berada di atas meja termasuk rayuan terhadap keputusan Ninth Circuit mengenai TRO kepada Mahkamah Agung.

“Kami meneruskan arahan eksekutif ini dan mengharapkan ia boleh dilaksanakan secepat mungkin bagi melindungi rakyat Amerika daripada keganasan,” katanya.-MalaysiaGazette