Empat wakil rakyat DAP Melaka keluar parti

KUALA LUMPUR – DAP Melaka lumpuh apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Parlimennya bertindak keluar parti itu hari ini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; ADUN Duyong, Goh Leong San; ADUN Bachang, Lim Jack Wong dan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong.

Mereka mengambil keputusan keluar dari DAP kerana kecewa dengan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurut Tong Him, perbalahan yang berlaku di peringkat dalaman sehingga sukar menemui titik penyelesaian menyebabkan ramai ahli makin hilang kepercayaan dengan kepimpinan parti.

Katanya, beliau yang berasa malu dengan krisis dalaman itu dan tambahan pula parti lebih mengutamakan orang baharu daripada yang lama, memaksanya bertindak meninggalkan DAP.

“Perjungan DAP telah jauh tersasar dari matlamat dan tujuan asal penubuhannya. Ini memaksa ramai ahli datang mengadu kepada saya. Mereka meluahkan perasaan tidak puas hati dan kecewa.

“Saya cuba membawa permasalahan ini ke peringkat pusat, tetapi tidak ada apa-apa tindakan diambil. Malah dia (Guan Eng) seolah tidak mahu mengambil berat masalah yang berlaku,” katanya pada sidang media di Air Keroh, Melaka, hari ini.

Tong Him turut memberitahu, faktor hubungan baik kepimpinan DAP Pusat dengan Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamed juga antara faktor beliau dan tiga rakan keluar parti.

Katanya, selepas lebih tiga dekad menggelar Dr Mahathir sebagai diktator dan zalim, Guan Eng serta bapanya, Lim Kit Siang menjalin kerjasama politik dengan mantan Perdana Menteri itu.

Malah Kit Siang dilihat mempertahankan rekod buruk Dr. Mahathir, khususnya berhubung dengan isu forex Bank Negara Malaysia (BNM) dan skandal kewangan Bumiputera Malaysia Finance (BMF) ketika beliau menjadi Perdana Menteri. – MalaysiaGazette