Home Utama Kurangkan jumlah penjawat awam selagi boleh

Kurangkan jumlah penjawat awam selagi boleh

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengecilkan jumlah penjawat awam terutama golongan rendah untuk mengurangkan perbelanjaan.

Cadangan itu perlu dipertimbangkan sekiranya kerajaan serius mahu mencapai defisit 3.0 peratus.

Bekas Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim berkata, jika tidak, dikhuatiri Malaysia sukar dapat menampung 1.6 juta tenaga kerja  seandainya berada dalam krisis kewangan.

Katanya, birokrasi kerajaan semakin meningkat sehingga terpaksa mengambil jumlah pekerjaan yang banyak tetapi pada masa sama telah menyebabkan kegagalan dalam kewangan.

Menurut beliau, disebabkan jumlah penjawat awam yang tinggi, sektor swasta dan orang awam terpaksa berhadapan dengan terlalu banyak undang-undang dan peraturan, katanya dalam Forum Persatuan Ekonomi Malaysia hari ini.

Jumlah 1.6 orang kakitangan awam di Malaysia adalah terbesar di Asia Pasifik.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut mengakui jumlah penjawat awam negara terlalu tinggi dengan nisbah satu penjawat awam bagi setiap 19.37 orang rakyat negara ini.

Sambil memberi contoh, Mohd Sheriff berkata, penstrukturan Malaysia Airlines adalah contoh terbaik walaupun terpaksa membayar pampasan besar kepada 6,000 orang kakitangannya.

“Pembayaran pempasan mungkin meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan tetapi ia lebih baik buat selagi mampu, selagi tidak terlewat seperti krisis Greece.

“Kita tidak mahu risiko krisis seperti yang dialami oleh Greece hingga menyebabkan gaji terpaksa dipotong dan gagal membayar pencen penjawat awam,” ujarnya.

Tambah beliau, isu tersebut telah diperkatakan sejak berdekad lalu tetapi tidak ada perubahan dilakukan kerana tidak ada kesungguhan politik. – MalaysiaGazette