KUALA LUMPUR – MASwings akan mengurangkan kekerapan penerbangannya ke lima laluan untuk membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan ATR 72-500 turbo prop yang bermula pada Isnin ini.

Pengurangan itu melibatkan sektor Kota Kinabalu-Lahad Datu dari 35 penerbangan kepada 28 Kota Kinabalu-Sandakan (daripada 28 kepada 21), Miri-Limbang (daripada 21 kepada 14), Kota Kinabalu-Miri (daripada 28 kepada 21) dan Miri-Labuan (daripada 35 kepada 31).

Dalam kenyataannya, MASwings berkata, sebanyak lapan pesawat ATR telah dijadualkan untuk ‘penyelenggaraan berat’ (HMV)  sehingga akhir tahun ini.

HMV ini adalah prosedur wajib oleh pembuat pesawat untuk memastikan pesawat memenuhi keperluan kelayakan penerbangan dan standard, tambah MASwings.

MASwings kini mempunyai 818 penerbangan setiap minggu ke semua destinasi yang dikendalinya.

Syarikat itu yakin program penyelenggaraan ini tidak akan menjejaskan jadual penerbangan penumpang kerana kekerapan baru masih boleh memenuhi permintaan.

Penumpang yang membeli tiket lebih awal bagi penerbangan selepas 20 Februari boleh mengesahkan status penerbangan sama ada dengan menghubungi pejabat tiket MASwings/Malaysia Airlines atau ejen pelancongan atau melalui 24 jam pusat panggilan di talian bebas tol 1300 88 3000. – MalaysiaGazette