Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat menganggap Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin keliru mengenai Rang Undang-Undang (RUU) 355,

Datuk Dr. Khairuddin at-Takiri berkata, kenyataan Mufti Perlis itu juga mengelirukan orang ramai.

“Saya menggesa sahabat saya, Dr. Asri berhentilah mengelirukan umat Islam dalam isu undang-undang jenayah Islam dengan pelbagai pandangan songsang sementelah kedudukan beliau sebagai mufti.

“Janganlah berdiri sebaris dengan golongan berfikiran liberal yang berusaha memandulkan sebarang usaha memperkasakan agama Allah,” ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dalam kenyataannya semalam.

Mohd. Asri atau lebih dikenali sebagai MAZA baru-baru ini mempertikaikan tentang RUU 355 ialah syarat untuk menghukum dan mempersoalkan apakah kita sudah mencukupi syarat untuk menghukum.

Menurut Khairuddin, RUU 355 adalah cadangan pindaan undang-undang bagi Akta 355 khususnya membolehkan tiga kesalahan jenayah Islam – minum Arak, qazaf dan zina dihukum menurut al-Quran dan sunnah iaitu masing-masing 40, 80 dan 100 rotan.

Ia juga meningkatkan hukuman bagi pelbagai lagi kesalahan takzir daripada hanya terikat kepada tiga tahun penjara, RM5,000 ringgit denda dan enam kali sebatan kepada maksimum 30 tahun penjara, RM100,000 denda dan 100 kali sebatan syarie.

“Ada pun isu pelaksanaan sama ada melibatkan syarat yang membolehkan hukuman dilaksanakan itu adalah prosedur melibatkan akta atau enakmen keterangan untuk menjatuhkan hukuman.

“Ia adalah apabila sesuatu kes dibawa ke mahkamah syariah nanti. Ia tidak berbangkit pada peringkat sekarang. Itu peringkat pelaksanaan di mahkamah syariah.

“Setiap undang-undang ada prosedur Keterangannya di mahkamah. Ia dibincangkan dalam konteks Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah di negeri-negeri,” katanya lagi.-MalaysiaGazette