Home Utama CUEPACS kecewa isu jumlah penjawat awam diperbesarkan

CUEPACS kecewa isu jumlah penjawat awam diperbesarkan

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terguris dan kecewa apabila ada pihak-pihak dalam kerajaan yang cuba memperbesar-besarkan isu jumlah penjawat awam di negara ini.

Tindakan mereka itu, dakwa Presiden CUEPACS, sama sekali tidak ubah seperti yang pernah dilakukan oleh pembangkang pada masa lalu.

Datuk Azih Muda membantah dakwaan kononnya penjawat awam terlalu ramai, sebaliknya meminta mereka yang membuat tuduhan itu supaya melihat semula Perkara 132 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Perkara 132 menyebut semua perkhidmatan awam di negara ini adalah penjawat awam.

Jelas beliau, takrifan penjawat awam dalam peruntukan itu berbeza dengan negara-negara lain kerana tidak memasukkan anggota tentera, polis, kakitangan dalam sektor pendidikan dan kesihatan sebagai penjawat awam.

“Kalau setakat penjawat awam sahaja, jumlahnya kira-kira 500,000 orang. Jumlah ini pun termasuk kakitangan di 156 pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

“Manakala baki 1.1 juta lagi terdiri kakitangan pendidikan, kesihatan, tentera dan polis yang diletakkan di bawah perkhidmatan wajib.

“Jika jumlah penjawat awam yang ada ini hendak dipertikaikan, saya hendak tanya, adakah keempat-empat perkhidmatan wajib ini hendak diswastakan supaya tanggungan kerajaan dapat dikurangkan?.

“Atau adakah kita tidak perlu lagi membuat pengambilan polis dan tentera untuk menjaga ketenteraman negara. Tidak perlu mengambil guru, doktor, jururawat dan sebagainya?,” soal Azih.

Beliau mengakui tidak faham mengapa isu penjawat awam sengaja dicetuskan sejak akhir-akhir ini sedangkan rakyat Malaysia masih lagi bergantung kepada kerajaan.

“Dan mengapa setiap kali membangkitkan isu jumlah penjawat awam, kita perlu mengambil contoh negara lain. Tidak bolehkah kita mentadbir Malaysia dengan acuan sendiri?,” katanya.

Azih berkata, tugas dan peranan penjawat awam sekarang diwarisi sejak pra-merdeka, pasca merdeka dan ketika Malaysia menuju menjadi negara membangun.

“Adakah sebab Malaysia bakal menjadi negara maju maka kerajaan tidak perlu menjaga kepentingan rakyat kerana wang adalah segala-galanya. Itu saya tidak tahu, mungkin pihak-pihak yang mencetuskan isu ini lebih mengetahui.

“Pada peringkat CUEPACS, memang saya tidak tahu, lantaran itu saya sendiri tertanya-tanya kenapa isu jumlah penjawat awam ini dibangkitkan, oleh individu-individu yang berkhidmat dan pernah berkhidmat dengan kerajaan.

“Apapun saya meminta penjawat awam lain bertenang kerana setakat ini kerajaan tidak dimaklumkan apa-apa tentang perkara ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.