Empat wakil rakyat DAP Melaka keluar parti

KUALA LUMPUR – Krisis dalaman menyebabkan DAP berdepan defisit keyakinan selepas tindakan keluar parti empat wakil rakyatnya di Melaka berpunca daripada sikap autokratik pemimpin dua beranak, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.

MELAKA, 12 Feb -- Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP Melaka bertindak keluar parti hari ini. Mereka ialah (dari kiri) ADUN Bachang Lim Jak Wong, Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him, ADUN Duyong Goh Leong San dan ADUN Kesidang Chin Choong Seong. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP Melaka bertindak keluar parti hari ini. Mereka ialah (dari kiri) ADUN Bachang Lim Jak Wong, Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him, ADUN Duyong Goh Leong San dan ADUN Kesidang Chin Choong Seong.
–fotoBERNAMA

Cara dua beranak tersebut mengawal parti yang dianggap keras dan autokratik tidak disenangi pemimpin dan akar umbi DAP, kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

“Lim Guan Eng mengawal parti dengan keras dan autokratik dalam DAP, jika sesiapa yang tidak bersetuju dengan pendiriannya mereka akan dicantas. Beliau juga seorang yang dominan dalam parti,” kata Azizuddin kepada MalaysiaGazette.

Mohd Azizuddin juga berkata, sikap kedua-dua beranak tersebut yang dilihat mementingkan kepentingan politik demi mendapatkan sokongan semata-mata juga antara menyumbang kepada krisis dalaman parti itu, sebagai contoh menjalin kerjasama dengan bekas musuhnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Secara lazimnya dalam politik DAP, jika ada kepentingan mereka akan menerima sesiapa sahaja, yang bagi parti mereka kuat mereka akan terima,” katanya.

Mengenai ura-ura kemungkinan terdapat beberapa lagi pemimpin DAP keluar parti, Azizuddin melihat perpecahan dalam DAP akan jadi lebih besar sekiranya ia merebak ke negeri Selangor dan Pulau Pinang.

“Jika parti lawan mengambil kesempatan dan mereka ke negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang ia akan memberi kesan lebih buruk,” katanya.

Terdahulu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendedahkan ada ura-ura terdapat dua lagi pemimpin kanan akan keluar daripada parti itu.

Dalam pada itu, bekas Naib Presiden DAP, Zulkifli Md Noor juga memberikan respon sama terhadap dua beranak, Guan Eng dan Kit Siang yang mendakwa mereka berdua mengamalkan pentadbiran bersifat kuku besi.

Kedua-dua Penasihat dan Setiausaha Agong DAP dilihat sering menyekat kelantangan suara ahlinya sejak akhir-akhir ini, lebih-lebih lagi apabila menyentuh kerjasama dengan ‘musuh’ lama parti itu, Penaung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr. Mahathir.

“DAP amalkan tak benarkan pemimpin-pemimpin pertengahan dan ahli biasa bersuara, kalau nak bercakap mesti minta kebenaran daripada CEC. CEC tu siapa yang buat keputusan? Dua orang tu juga, CEC tu digunakan sebagai alasan.

“Inilah pemerintahan kuku besi yang selalu saya katakan, ini bukan lagi sosialisme,” kata Zulkifli.  – MalaysiaGazette