Sebahagian daripada sepuluh individu termasuk tujuh doktor, seorang kerani dan dua 'runner' diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari Mahkamah Majistret setelah mendapat perintah reman dua hari.? Mereka ditahan SPRM kerana membuat dokumen palsu. fotoBERNAMA

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan tujuh doktor kerana disyaki menyalah guna profesion mereka, meluluskan permohonan pemeriksaan perubatan untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), tanpa melakukan pemeriksaan terhadap pemohon.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abdul Aziz Aban berkata pihaknya turut menahan tiga individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan itu, iaitu seorang wanita berusia 41 tahun, pembantu sebuah klinik dan dua lelaki yang bertugas sebagai ‘runner’.

“Enam doktor yang ditahan adalah pemilik klinik swasta dan seorang lagi merupakan doktor yang berkhidmat di hospital kerajaan. Pada masa operasi dijalankan, doktor itu menjalankan tugas di klinik milik ayahnya.

“Kesemua doktor terbabit ditahan dalam operasi kira-kira 3 petang semalam di tujuh buah klinik di sekitar Bukit Mertajam, Batu Ferringhi, Pekan Lama, Gelugor dan Perai serta dua premis dan kios persendirian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata SPRM telah menjalankan siasatan terhadap kegiatan semua doktor berkenaan sejak Disember lepas, dan mendapati mereka tidak menjalankan prosedur pemeriksaan terhadap pemohon, khususnya pemandu bas dan teksi yang ingin memperbaharui lesen PSV mereka.

“Perbuatan doktor-doktor itu bercanggah dengan syarat kelayakan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu adalah perkara wajib bagi seseorang pemohon diperiksa sepenuhnya oleh doktor untuk memastikan individu berkenaan berada dalam tahap kesihatan yang memuaskan,” katanya.

Abdul Aziz berkata hasil siasatan turut mendapati kerani yang ditahan itu dibenarkan oleh doktor yang merupakan majikannya untuk meluluskan borang pemeriksaan perubatan dengan menurunkan tandatangannya sendiri sedangkan pengesahan itu sepatutnya dibuat oleh doktor berkenaan.

“Kedua-dua ‘runner’ yang ditahan itu pula memberikan perkhidmatan kepada pemohon tanpa mereka perlu pergi ke klinik untuk mendapatkan pengesahan doktor. SPRM turut merampas borang permohonan pemeriksaan perubatan, resit-resit yang dikeluarkan kepada pemandu serta cap palsu yang digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata seorang daripada ‘runner’ berkenaan telah menyediakan enam cap palsu atas nama dua klinik dan tiga nama doktor yang tidak wujud bagi meluluskan permohonan yang dibuat ‘pelanggannya’.

“SPRM turut merampas 16 buku atau 1,600 keping Borang JPJL8 milik JPJ di mana setiap buku mengandungi 100 helai borang…daripada 16 buku itu, tujuh buku atau 700 keping borang telah siap ditandatangani dan dicop dengan nama doktor dan klinik yang tidak pernah wujud,” katanya.

Beliau berkata kesemua doktor berkenaan serta dua ‘runner’ terbabit menjalankan kegiatan berkenaan sejak empat hingga 10 tahun lepas.

“Ini yang menyebabkan perkhidmatan mereka popular dalam kalangan pemandu bas dan teksi. Berdasarkan siasatan awal, pemohon dikenakan bayaran antara RM5 hingga RM30 oleh doktor-doktor tersebut untuk setiap permohonan.

“Gejala ini amat serius dan tindakan perlu diambil dengan segera kerana ia membabitkan keselamatan umum dan meningkatkan kemalangan jalan raya. Bayangkan jika orang awam menaiki bas atau teksi dan tiba-tiba pemandu berkenaan diserang sakit jantung dan sebagainya ketika memandu, ia amat membahayakan,” katanya.

Abdul Aziz berkata kesemua yang ditahan itu berusia antara 32 dan 74 tahun. Mereka direman dua hari mulai hari ini.

— BERNAMA