Ben Leiw Pok Boon (dua kiri) bersama pengadu, Heng Soo Ngoh dan Chong Peng Leong menunjukkan laporan aduan dan bil elektirik pada sidang media isu aduan meter elektrik tidak stabil di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Menara PGRM, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 16 FEBRUARI 2017.

AMPANG – Terkejut dengan bil elektrik yang diterima pada Februari tahun lalu, sepasang warga emas hari ini membuat aduan kepada Biro Perkhidmatan dan Pengaduan Awam Parti Gerakan.

Mangsa Heng Soo Ngoh 66, dan suaminya Chong Peng Leong, 67, berkata, mereka terperanjat apabila melihat bil berkenan berjumlah RM429.59.

“Saya mahukan satu keadilan daripada TNB bahawa saya tidak patut bayar jumlah berkenaan. Ia naik sekali ganda daripada jumlah penggunaan elektrik saya setahun,” kata Soo Ngoh.

Soo Ngoh, dalam pada itu, enggan membayar bil elektrik rumahnya selama setahun bagi membuktikan jumlah penggunaan bil elektrik rumahnya.

Ekoran tindakan itu, penggunaan elektrik pasangan berkenaan dalam tempoh setahun hanyalah berjumlah RM237.70 berbanding bil yang diterima mereka pada Februari tahun lalu.

Menurut Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan dan Pengaduan Awam Parti Gerakan Ben Liew, pasangan berkenaan datang kepadanya setelah aduan dibuat kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun gagal mencapai sebarang penyelesaian.

“Mereka (pasangan warga emas) mengemukakan aduan terhadap TNB bahawa penggunaan bil elektrik setiap bulan tidak sampai RM30 sebulan. Malah penggunaan elektrik adalah dalam lingkungan 100-130 kwh sahaja.

“Namun pada Februari tahun lalu, berlaku kebakaran pada meter elektrik mereka dan buat laporan terhadap TNB.

“Pada bulan itu (Februari 2016), bil elektrik mereka mencecah RM429. Dan kembali normal apabila TNB membuat pertukaran kepada alat ganti di meter berkenaan, ” katanya ketika menerima aduan berkenaan.

Berdasarkan kepada aduan yang dibuat Soo Ngoh, TNB mendapati tiada sebarang gangguan pada meter selepas kejadian gangguan bekalan elektrik yang berpunca daripada wayar terbakar di premis berkenaan.

Malah satu semakan telah dibuat oleh TNB dan mendapati meter berkenaan berada dalam keadaan yang baik.

Jelas Ben Liew, ini merupakan kes ketiga yang diterima biro berkenaan berhubung aduan sama.

“Kami terima banyak aduan mengenai TNB. Sebelum ini ada dua kes kejadian wayar elektrik terbakar. Jadi kami rasa ini adalah tanggungjawab TNB untuk mengadakan pemeriksaan di setiap premis sebelum apa-apa kejadian tidak diingini berlaku,” jelas Ben Liew. – MalaysiaGazette