Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai meluangkan masa melayan sebahagian wartawan yang sedang mengambil makanan pada Malam Media MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 16 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Dalam dunia siber yang bergerak begitu pantas tanpa sempadan, pengamal media disarankan supaya memastikan berita yang dilaporkan supaya sentiasa tepat dan sahih.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, adalah satu amanah atau tanggungjawab sukar yang harus digalas pengamal media di negara ini untuk melaporkan yang benar kepada rakyat.

“Saya tahu ia bukan satu perkara mudah untuk melaporkan fakta dan kebenaran dengan penuh intergriti.

“Ini kerana akan ada pihak tertentu di sebelah sana yang sentiasa menunggu untuk menuduh penulisan anda,” katanya ketika berucap di Malam Media MCA 2017 di Wisma MCA di Jalan Ampang di sini.

Lebih 500 pengamal media dari pelbagai agensi tempatan diraikan dengan juadah istimewa bersempena sambutan Tahun Baru Cina dan hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektronik.

Menurut Tiong Lai, kehendak rakyat sekarang yang sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi memaksa pengamal media untuk mendapatkan berita terkini, pantas dan tepat.

“Bagi memenuhi kehendak mereka, adalah menjadi tanggungjawab anda sebagai pemberita untuk menggalas tugas itu demi manfaat dan kesejahteraan rakyat kita.

“Dalam perkara ini, saya berterima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana anda tidak pernah lari daripada laporan yang telus dan beramanah.

“Kita juga menghargai tugas anda dan mengekalkan hubungan yang akrab dan sihat dengan media.

“Bukan seperti ahli politik tertentu dalam pembangkang yang gemar bergaduh dengan media dan sengaja melemparkan fitnah melampau,” ujar beliau lagi.

Beliau mengakui media memainkan peranan penting kepada MCA dalam menyampaikan agenda nasional parti yang diterjemahkan kepada pembangunan rakyat pelbagai bangsa.

“MCA terus mengekalkan persahabatan persefahaman konsensus dengan komponen BN sperti UMNO, MIC dan Gerakan dalam membantu rakyat.

“MCA kini bertambah kukuh dan diharap memainkan peranan penting dalam membangunkan rakyat dan negara.

“Media juga harus memahami MCA dan agenda yang digariskan untuk rakyat kerana banyak maklumat tidak benar mengenai MCA dilemparkan pihak luar,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette