Kim Jong-nam
HANOI – Pihak berkuasa Vietnam bekerjasama erat dengan Malaysia terutama berhubung penahanan seorang wanita yang dikaitkan dengan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara.

Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan jurucakap Kementerian Luar, Nguyen Phuong Tra sebagai berkata negara itu akan bekerjasama dengan negara lain bagi menangani dan membanteras jenayah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai insiden itu dan penahanan wanita berusia 29 tahun yang dikatakan memiliki dokumen perjalanan negara tersebut dengan nama Doan Thi Huong, yang disyaki terlibat dengan pembunuhan berkenaan.

Tra menegaskan Vietnam mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah atas apa juga alasan.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan lelaki Korea Utara yang mati di klia2 pada Isnin lepas adalah Jong-nam.

Selain wanita berusia 29 tahun itu, polis turut menahan seorang lelaki Malaysia dan seorang wanita bernama Siti Aishah yang memegang pasport Indonesia, untuk membantu siasatan.

Menurut laporan, pegawai diplomat Indonesia telah menemui Siti Aishah dan mengesahkan dia adalah warga Indonesia.

— BERNAMA