TOKYO – Jepun merancang mempercepatkan program pembinaan kapal perang dengan membuat dua buah kapal tentera laut setahun bagi tujuan rondaan di pinggir Laut China Selatan, perebutan hak milik pulau dengan China, kata mereka yang mengetahui mengenai perancangan tersebut.

Sebelum ini, Jepun membina sebuah kapal pemusnah kelas 5,000 tan setahun namun kini negara itu akan membina dua buah kapal kelas 3,000 tan setahun, bermula tahun kewangan April 2018, kata individu yang enggan dikenali kepada media.

Negara itu menyasar untuk menghasilkan sebuah angkatan yang meliputi lapan buah kapal baharu yang berkeupayaan anti kapal selam dan memusnahkan periuk api yang lebih kecil pada kos yang lebih murah.

Pengendali-pengendali limbungan kapal tentera laut termasuk Mitsubishi Heavy Industries, Japan Marine United Corp. (JMU) dan Mitsui Engineering and Shipbuilding dijangka membida untuk kerja-kerja tersebut, kata mereka.

Jepun dan China menuntut hak pemilikan ke atas sekumpulan pulau di Laut China selatan, kira-kira 220 kilometer ke timur laut Taiwan. Di Jeoun kepulauan itu dikenali dengan nama Senkakus manakala di China ia dikenali sebagai kepulauan Diaoyu.

Para pegawai kanan tentera Jepun berkata, mereka khuatir China akan meningkatkan pengaruh di Laut China Selatan, sekitar rangkaian Pulau Okinawa, di selatan Jepun. Jepun memberi bantuan kepada ASEAN, termasuk Filipina dan Vietnam, yang menentang tuntutan China di Laut China Selatan.

Kementerian Pertahanan Jepun berkata, laporan yang diterbitkan pada Rabu lalu memerlukan syarikat yang memenangi kontrak pembuatan lapan kapal tentera menawarkan sebahagian besar daripada projek itu kepada pembida lain.

Ia bertujuan memastikan limbungan kapal tentera kekal beroperasi.

Dalam tempoh dua tahun JMU telah memenangi kontrak membina kapal pemusnah yang dilengkapi sistem persenjataan Aegis dan ini mencetuskan kebimbangan sesetengah pegawai Kementerian Pertahanan bahawa pesaing boleh menutup limbungan kapal di negara itu, kata salah seorang sumber.

“Kami perlu memastikan keupayaan kami membina kapal tentera laut di negara sendiri,” kata individu tersebut.

Pembinaaan kapal baharu itu dijangka menelan belanja antara ¥40 bilion hingga ¥50 bilion (AS$353 juta hingga AS$443 juta) sebuah, kata sumber lain. – Reuters