Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bercakap pada sidang media mengenai isu pembunuhan Kim Jong Nam, turut serta adalah Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan empat lagi suspek pembunuhan Kim Jong-nam atau nama pasportnya Kim Chol telah meninggalkan negara ini pada hari sama abang tiri pemimpin Korea Utara itu dibunuh.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pemburuan keempat-empat suspek yang kesemuanya warga Korea Utara itu diteruskan dengan kerjasama Interpol dan pihak lain.

“Kami ingin mengesahkan empat suspek pembunuhan mangsa telah meninggalkan negara pada hari serangan.

“Ketika ini, kami sedang bekerjasama dengan Interpol dan badan-badan berkaitan yang lain di rantau ini,” katanya semasa sidang media di Bukit Aman hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bercakap pada sidang media mengenai isu pembunuhan Kim Jong Nam, turut serta adalah Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat (kanan) di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 19 FEBRUARI 2017.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bercakap pada sidang media mengenai isu pembunuhan Kim Jong Nam, turut serta adalah Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat (kanan) di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 19 FEBRUARI 2017.

Ini merupakan sidang media pertama oleh pihak polis sejak Jong Nam dibunuh di klia2.

Berikut adalah butiran mengenai empat suspek berkenaan yang didedahkan pihak polis:-

  1. Rhi Ji Hyon, 33, tiba di Malaysia pada 4 Februari 2017.
  2. Hong Song Hac, 34, tiba di Malaysia pada 31 Januari 2017.
  3. O Jong Gil, 55, tiba di Malaysia pada 7 Februari 2017
  4. Ri Jae Nam, 57, tiba di Malaysia pada 1 Februari 2017.

Keempat-empat suspek itu memegang pasport biasa dan bukannya pasport diplomatik.

Noor Rashid bagaimanapun enggan mengulas sama ada suspek-suspek berkenaan mempunyai kaitan dengan kerajaan Korea Utara atau tidak.

Setakat ini, polis telah berjaya menahan empat suspek merangkumi dua wanita dan dua lelaki bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, pihak polis katanya sedang berusaha untuk mendapatkan waris atau ahli keluarga terdekat Jong-nam bagi membantu siasatan.

Hasil laporan bedah siasat dan ujian kimia juga masih belum diterima pihaknya.

Noor Rashid juga enggan mengulas sama ada pembunuhan mangsa dilakukan secara profesional dan taktik prank seperti dilaporkan media sebelum ini kerana masih dalam siasatan lanjut.

Beliau juga mengesahkan wanita pertama ditahan bagi membantu siasatan pemegang pasport Vietnam dan polis akan memberi kebenaran kepada Kedutaan Indonesia bertemu dengan seorang lagi wanita warga negara itu yang ditahan, Siti Aishah selepas proses siasatan melibatkannya berakhir.

Jong-nam, 45, mati dibunuh balai perlepasan klia2 pada pagi Isnin lalu selepas disimbah oleh sejenis bahan kimia ke mukanya ketika sedang menunggu penerbangan ke Macau.-MalaysiaGazette