Khaled Nordin

JOHOR BAHRU- Kerajaan Johor akan membantu mendapatkan khidmat bantuan guaman bagi keluarga mangsa kemalangan jalan raya yang mengorbankan lapan nyawa di sini awal pagi semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan langkah itu malam tadi bagi membolehkan bantuan guaman bersesuaian dihulurkan kepada semua keluarga dan waris yang terkesan akibat tragedi itu.

“Kerajaan negeri akan bantu keluarga untuk lantik peguam bagi mengkaji tindakan selanjutnya berkaitan kes itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain bantuan guaman, Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan segera berjumlah RM1,600 bagi setiap keluarga mangsa yang terkorban.

Ia merupakan bantuan yang disalur menerusi agensi negeri dan persekutuan termasuk daripada Tabung Khairat Kematian Negeri Johor, Majlis Agama Islam Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.-MalaysiaGazette