KUALA LUMPUR – Perak dan pendatang baharu Liga Super 2017, Melaka United berdepan laluan sukar pada aksi pusingan ketiga Piala FA 2017 yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Mac ini.

Pada majlis undian yang disiarkan secara langsung di saluran TV9 hari ini, Perak bakal membuat perhitungan dengan juara Piala Malaysia 2016, Kedah di Ipoh.

Juara Liga Perdana 2016, Melaka United akan bertandang ke Stadium Darul Makmur untuk bertemu Pahang.

T-Team pula akan melayan kunjungan Terengganu di Kuala Terengganu manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) akan menerima kedatangan Kuantan FA.

Sementara itu, pasukan yang sedang bergelut di Liga Super, Pulau Pinang dijadual bertemu Negeri Sembilan di Paroi manakala Perlis akan dicabar Sarawak di Kangar.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat laluan mudah apabila diundi bertemu UiTM FC sementara negeri di bawah bayu, Sabah akan berentap bersama MOF FC (Ministry of Finance FC).

Pusingan ketiga Piala FA 2017 akan dimainkan secara kalah mati. – MalaysiaGazette