GEORGETOWN – Jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood tampil memberikan penjelasan mengenai situasi sukar yang dilalui oleh pasukannya ketika ini.

Westwood yang juga bekas jurulatih Bengaluru FC di Liga India berkata, Harimau Kumbang kini dalam proses transisi.

“Kami bermain dengan baik. Ya, benar kami kalah tetapi kami tidaklah begitu teruk.

“Sebagai contoh, tengok sahaja perlawanan menentang T-Team, kami bermain dengan baik serta menguasai bola dan mencipta percubaan. Cuma tiada penyudah sahaja.”

“Tetapi T-Team yang bermain kurang baik berjaya menang. Kenapa? Sebab mereka ambil peluang mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Westwood juga mahu peminat agar tidak hanya memandang keputusan sahaja.

Sebaliknya melihat corak permainan yang diterapkan pasukan.

Jika diikutkan statistik, Pulau Pinang hanya sekali sahaja tewas teruk apabila kalah 1-6 di tangan Pahang.

Baki perlawanan lain hanyalah tewas tipis apabila mereka tewas 0-2 kepada Selangor dan 0-1 ketika menentang Perak, Sarawak dan juga T-Team.

Westwood juga menegaskan dia masih lagi mencari orang yang sepatutnya mengetuai Pulau Pinang.

Pada masa sama, Westwood juga mengatakan pasukan Pulau Pinang berada dalam keadaan yang baik untuk bermain bola sepak 90 minit.

“Tengok pasukan lain, baru 60 minit bermain sudah ada pemain yang jatuh minta kena rawat. Pemain saya tiada pun yang meminta rawatan walaupun di akhir permainan.

“Pemain-pemain saya terus berjuang mencari gol walaupun di babak-babak terakhir permainan. Pasukan lain? Pemain mereka sudah terbaring di atas padang,” jelasnya.

Mengulas mengenai perancangan peminat yang mahu memboikot perlawanan Pulau Pinang di tempat sendiri. Westwood berkata, peminat seharusnya bersama dengan pasukan.

“Dalam waktu sukar begini, kami perlukan sokongan daripada penyokong untuk sentiasa buatkan kami bersemangat.”

“Berikan kami masa sehingga 10 hingga 11 perlawanan, jika masih belum ada yang berubah maka saya akan bertanggungjawab.

“Kami perlu masa untuk bangkit.” – MalaysiaGazette