Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengesa agar semua rakyat di negara ini kembali kepada kepercayaan agama masing-masing dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang terbaik.

Ujarnya demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan Malaysia, rakyat harus mengambil pendekatan sikap tolak ansur dalam pelbagai aspek sebagaimana yang dicerminkan dalam konsep 1Malaysia yang diilhamkan beliau.

“Kembali ke kepercayaan masing-masing tidak kira Islam, Kristian, Budha, Hindu dan jadikan Malaysia negara yang terbaik.

“Kita harus hormat satu sama lain dan Malaysia akan kekal harmoni dan maju. Dari sawah padi ke pergunungan Sabah dan Sarawak anda semua boleh lihat bagaimana Malaysia.

“Rakyat mesti belajar untuk percaya satu sama lain dan terima kekurangan dan kelebihan masing-masing,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Jamuan Perdana Keamanan dan Keharmonian anjuran Pertubuhan Keharmonian dan Keamanan Kristian Malaysia (CPHM) di sini sebentar tadi.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan dan juga Datuk Seri Joseph Kurup.

Bagaimanapun, jelas Najib, rakyat harus menanam sikap untuk memahaminya antara satu sama lain.

Perkara itu penting bagi memastikan pelapis masa depan Malaysia dapat meneruskan sikap ini di masa akan datang.

“Kita berbangga dapat hidup dalam negara yang harmoni dan kita akan berikan kepada pelapis lain supaya mereka boleh nikmati harmoni yang kita kecapi.

“Untuk berbuat demikian kita kena teruskan bukan saja dari kata-kata tapi perbuatan. Bagaimana kita hendak lakukannya? Kita kena saling mengenali sebaik-baik satu sama lain,” katanya di hadapan lebih 1,000 tetamu.

Malah Najib turut menyentuh mengenai sikap kebersamaan yang ditanam kepada masyarakat Malaysia sejak merdeka dimana ia berjaya memacu perpaduan kepada masyarakat yang dilihat kini.

“Kita datang dari jauh sejak merdeka 60 tahun lalu. Saya ingatkan bahawa benih kesepaduan telah ditanam oleh bekas pemimpin dan ia dicerminkan sebagai Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada setiap rakyat dipelihara.

“Memahami antara satu sama lain adalah penting untuk meneruskan keamanan dan kesejahteraan. Sebab itu saya perkenalkan konsep 1Malaysia dimana saya percaya kita mesti mendidik masyarakat masa depan bukan sahaja bersabar antara satu sama lain malah menerima perbezaan masing-masing,” ujar Najib.

Malaysia, katanya akan terus menjadi negara yang sejahtera dan aman sekiranya rakyat pelbagai kaum dan agama kukuh mempertahankan keamanan. -MalaysiaGazette.