Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerelaan bersyarat Lim Kit Siang bagi membantu jelajah mengenai skandal mata wang jelas bermotifkan politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Penasihat DAP itu sepatutnya ikhlas jika mahu membantu.

“Jawatankuasa khas yang diluluskan Kabinet hanya mengehadkan kajian merujuk kepada analisa kerugian perniagaan mata wang asing melibatkan Bank Negara pada 1990-an jika ada.

“Jawatankuasa itu kemudiannya akan mengusulkan tindakan yang sesuai diambil sebaik sahaja selesai siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas permintaan Kit Siang untuk membicarakan isu Skandal BMF dan 1MDB sebagai syarat sekiranya mahu dirinya terlibat dalam sesi penerangan mengenai kes kerugian mata wang asing.

Bagaimanapun, menurut Azalina, syarat yang dikenakan Kit Siang tidak munasabah dan tidak relevan kerana 1MDB sudah disiasat oleh jawatankuasa khas sebelum ini.

Jawatankuasa itu terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang turut dianggotai pembangkang.-MalaysiaGazette