Home Ekonomi Petronas sasar AS$1b jual projek gas

Petronas sasar AS$1b jual projek gas

SINGAPURA – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mensasar untuk menjual kepentingan minoriti yang besar dalam projek huluan gas tempatan sehingga AS$1 bilion untuk meraih tunai dan mengurangkan kos pembangunan.

Reuters yang memetik dua sumber sebagai berkata, Petronas sedang merancang untuk menjual kepentingan sebanyak 49 peratus dalam blok gas luar pesisir SK316 di Sarawak.

Ia merupakan satu langkah jualan besar-besaran yang pertama di tengah-tengah kemelut kejatuhan harga minyak sebanyak separuh berbanding dua setengah tahun lalu.

Petronas sedang bekerjasama dengan bank pelaburan dalam jualan tersebut dan prosesnya dimulakan pada bukan ini.

Gas dari medan NC3 di blok SK316 untuk projek eksport gas asli cecair (LNG) Malaysia, yang dikenali sebagai LNG 9, usaha sama Petronas dengan JX Nippon Oil & Energy Corp yang memulakan pengeluaran komersial pada bulan Januari.

Menurut sumber itu, pegangan dijangka termasuk gabungan medan penghasilan gas NC3, pembangunan potensi medan Kasawari dalam blok yang sama dan keluasan penerokaan lain dalam blok.

Dana yang diperoleh boleh menyumbang kepada pembangunan masa depan bidang Kasawari, salah satu medan gas tidak bersekutu terbesar di Malaysia, yang mempunyai anggaran sumber hidrokarbon diperolehi semula kira-kira tiga trilion standard kaki padu.

Pegangan itu boleh menarik minat firma-firma seperti Pertamina (Indonesia), PTT Exploration (Thailand) dan Production Pcl dan beberapa syarikat Jepun, kata sumber.

Memandangkan pengeluaran besar datang dalam talian di Australia dan Amerika Syarikat, pasaran LNG kini terlebih penawaran, menyebabkan kemerosotan hampir 70 peratus harga LNG di Asia sejak 2014 kepada AS$6.40 setiap juta unit termal British sekarang.

Walaupun begitu, aset-aset LNG Malaysia dilihat menarik kepada kos pengeluaran yang agak rendah dan kedudukannya yang berhampiran dengan hab penggunaan besar di Jepun, China, dan Korea Selatan. – MalaysiaGazette