Home Ekonomi Perkhidmatan bukan suara pacu hasil TM

Perkhidmatan bukan suara pacu hasil TM

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) merekodkan pertumbuhan 2.9 peratus dalam hasil kumpulan kepada RM12.06 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 berbanding RM11.72 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Prestasi yang lebih baik TM dipacu oleh perkhidmatan bukan suara yang kini mewakili 72 peratus daripada hasil kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, TM yang mencapai semua Petunjuk Prestasi Utamanya bagi tahun 2016 mencatatkan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) dilaporkan 2.5 peratus lebih tinggi berbanding tahun kewangan 2015 iaitu RM3.79 bilion disebabkan jumlah hasil yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, keuntungan operasi kumpulan (Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT)) bagi tahun kewangan 2016 adalah RM1.15 bilion, turun 8.2 peratus lebih rendah berbanding tahun lalu berikutan kos operasi yang lebih tinggi dan kesan susut nilai lebih ketara bagi aset-aset WiMAX.

Tidak termasuk perkara-perkara lain seperti keuntungan tukaran wang asing belum nyata bagi penyelesaian urus niaga antarabangsa dan skim persaraan awal kumpulan, EBIT Dinormalisasi Kumpulan TM adalah RM1.19 bilion, 4.4 peratus lebih rendah berbanding tahun lalu.

Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) TM adalah lebih tinggi pada RM918.5 juta berbanding RM911.8 juta tahun lalu.

TM melaporkan kenaikan Keuntungan Bersih (PATAMI) sebanyak 10.8 peratus kepada RM776.0 juta berbanding RM700.3 juta yang dicatatkan tahun lalu dipacu oleh keuntungan-keuntungan lain, kerugian tukaran wang asing yang lebih rendah atas pinjaman kumpulan serta insentif-insentif cukai yang dikenal pasti pada tahun kewangan 2016.

Mengulas keputusan kewangan bagi tahun 2016 TM, Zamzamzairani berkata, tahun 2016 merupakan tahun yang menarik dan pada masa yang sama, mencabar buat TM.

“Sepanjang tahun, kami menyaksikan pelaksanaan tambahan tapak evolusi jangka panjang tambahan (LTE) secara agresif dan kami telah melancarkan webe. Seperti dijangka, kami dapat melihat meningkatnya jumlah perbelanjaan pada suku tahun yang lalu apabila kami mula melangkah ke Tahun Konvergens.

“Secara keseluruhan, kami mencatatkan prestasi FY 2016 yang mantap dengan pertumbuhan hasil dapat dilihat merentasi semua kluster pelanggan, dipacu terutamanya oleh hasil bukan suara,” katanya di sini ketika mengumumkan prestasi tahun kewangan 2016.

Tambah beliau, jumlah pelanggan jalur lebar kami kekal kukuh, dipacu oleh UniFi dan mengakhiri tahun 2016 dengan liputan HSBB yang lebih luas iaitu 2.23 juta port di seluruh negara, dengan kadar langganan keseluruhan sebanyak 42.6 peratus.

Setakat 31 Disember 2016, TM merekodkan jumlah pelanggan jalur lebar sebanyak 2.37 juta pelanggan.

Bagi UniFi, sejumlah lebih 949,000 pelanggan telah diaktifkan setakat suku keempat 201 dengan 79.0 peratus daripada jumlah itu melanggan pakej berkepantasan 10Mbps dan ke atas.

Kadar langganan kukuh terhadap pakej-pakej TM dengan nilai lebih tinggi dan lebih ramai yang membeli kandungan serta peningkatan jualan tambahan telah membawa kepada arah aliran Purata Hasil Setiap PenggunaARPU yang mantap,” tambah beliau. – MalaysiaGazette