Datuk Seri Mustapha Mohamed.

PETALING JAYA- Kerajaan tidak akan masuk campur di dalam sebarang keputusan perniagaan yang dibuat Proton Holdings Bhd. (Proton) serta syarikat induknya, DRB-Hicom Holdings Bhd. (DRB-Hicom).

Ia termasuk perkara melibatkan pemberhentian pekerja dan vendor, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun beliau menegaskan, kerajaan tetap bekerjasama erat dan menyokong perkembangan Proton kerana mahu memastikan industri automotif negara terus berkembang.

“Walau apa pun ini adalah keputusan perniagaan. Perniagaan adalah perniagaan. Kerajaan adalah kerajaan.

“Kerajaan tidak boleh memberi arahan kepada syarikat-syarikat sama ada bank-bank, Petronas, atau sesiapa sahaja untuk mengambil sekian-sekian (jumlah) pekerja. Itu keputusan perniagaan.

“Tetapi kerajaan Malaysia adalah sebuah kerajaan yang akan memudah cara perniagaan jadi kami dan saya sendiri di MITI sentiasa bekerjasama rapat dengan Proton dan syarikat-syarikat lain kerana kami mahu mereka semua berkembang,” katanya ketika mengulas mengenai dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan vendor dan kakitangan Proton akan diberhentikan selepas syarikat tersebut mendapat rakan kongsi asing tidak lama lagi.

Terdahulu, Mustapa meluangkan masa melawat gudang pakaian dan peralatan sukan Decathlon Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi negatif terhadap Proton kerana ia akan menjejaskan nama baik negara meskipun kerajaan tidak lagi mempunyai sebarang kepentingan di dalam syarikat tersebut.

“Tidak mahulah ada spekulasi negatif. Ia tidak baik kepada negara. Sebarang komen sepatutnya membina kerana kami mahu syarikat-syarikat ini terus berkembang.

“Industri automotif merupakan sektor yang penting kepada negara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette