Seorang petugas media antarabangsa membaca surat khabar tempatan berkenaan kes kematian Kim Jong-Nam ketika membuat liputan di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 FEBRUARI 2017

SEOUL – Korea Utara hari ini menyalahkan Malaysia dalam kes kematian abang tiri pemimpinnya dan mendakwa negara  ini ‘tidak mesra’ dalam proses penyiasatannya.

Korea Selatan percaya Kim Jong-nam dibunuh ejen Pyongyang.

Reuters melaporkan, agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA berkata, Malaysia pada mulanya memberitahu Korea Utara seorang lelaki warganya mati akibat serangan jantung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

KCNA mendakwa Malaysia kemudian menukar posisinya dan mula merumitkan keadaan selepas muncul laporan di Korea Selatan yang menyatakan lelaki itu diracun.

“Apa yang perlu diberi lebih perhatian adalah perbuatan Malaysia ini berlangsung bersamaan konspirasi anti-Korea Utara dilancar oleh pihak berkuasa Korea Selatan.

“Tanggungjawab bagi kematiannya terletak pada kerajaan Malaysia kerana warga negara Korea Utara maut di Malaysia,” kata KCNA.

Malaysia turut dituduh melanggar undang-undang antarabangsa apabila melakukan bedah siasat ke atas seorang yang dikatanya pemegang pasport diplomatik.

Semalam, Polis Diraja Malaysia mengenal pasti Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Hyon Kwang-song, 44, serta pekerja syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk-il, 37, dipercayai terlibat kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang berusia 46 tahun kepada Kim Jong-un.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mereka berada di Malaysia tetapi tidak dapat mengesahkan di mana mereka menetap.

Sebelum itu, polis mengenal pasti lapan warga Korea Utara disyaki terbabit dalam kes ini. Seorang daripada mereka sudah ditahan.

Dalam kejadian 13 Februari lalu, Jong-nam mati selepas dikatakan disembur dan ditekup dengan kain mengandungi cecair racun di klia2.-MalaysiaGazette