Keputusan 'nolle prosequi' terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon tanpa melibatkan Peguam Negara, Tommy Thomas merupakan pencabulan ke atas Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. - Tan Sri Rais Yatim
Veteran politik, Tan Sri Dr Rais Yatim mendesak Lim Kit Siang atau anaknya Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan menyangkal gesaan Dr Boo Cheng Hau supaya Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

KUALA LUMPUR – Langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bekerjasama dengan DAP perlu difikir masak-masak kewajarannya, kata Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Bekas menteri yang ini Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia itu memberi amaran sedemikian kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin suatu ketika dahulu pernah memberi peringatan mengenai bahaya parti DAP itu kepada negara.

Walaupun beliau mengakui apa sahaja boleh berlaku dalam politik tetapi tidak menolak langkah diambil oleh kedua-dua pemimpin PPBM adalah disebabkan PPBM mahu parti jelmaan seakan-akan parti MCA yang mewakili kaum Cina di dalam Barisan Nasional (BN).

“Sama ada PPBM memerlukan satu jelmaan MCA dalam arena politik orang Tionghua. Jadi kalau itu didapati mungkin Muhyiddin berfikir panjang untuk mengiiktiraf Lim Kit Siang dan rakan-rakan dalam parti itu untuk menjelmakan beberapa impian,” katanya semasa sidang media di pejabatnya di Plaza Sentral hari ini.

Bagaimanapun, Rais turut berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan parti DAP sebelum ini.

Menurutnya, semasa menjadi Timbalan Presiden Parti Semangat 46 ketika kemelut politik dalaman UMNO sekitar tahun 1988 mengakui serik untuk bekerjasama dengan DAP waktu itu.

“Cuma saya sebagai bekas timbalan presiden Semangat 46 dalam dekad-dekad yang lalu, kami agak serik dengan DAP masa itu dan pengalaman itu mungkin dapat difahami oleh Muhyiddin.

“Yakni kesetiaan dalam mengiinterpretasi dan menjelmakan ideologi itu akan jadi persoalan nanti,” ujar Rais lagi.

Parti Semangat 46 ditubuhkan pada tahun 1988 selepas kekalahan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menentang Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO dan selepas itu Ku Li mendakwa UMNO dan memenangi kes berkenaan menyebabkan pendaftaran UMNO dibatalkan.

Mengulas lanjut, Rais mempersoalkan adakah DAP mampu membela masyarakat majmuk di Malaysia khususnya masyarakat Melayu dan India dalam soal ekonomi dan sebagainya.

Justeru, beliau mahu mahu Mahathir dan Muhyiddin menjadikan perkara itu asas untuk mengkajinya sebelum meneruskan hasrat mereka.

“Orang bernama Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng ini adakah mereka itu mahu bersama-sama membela masyarakat majmuk dan spesifik seperti orang Melayu, orang India yang mempunyai masalah terhimpit dalam soal ekonomi dan lain-lain?

“Jadi ini tidak jelas lagi dalam pemikiran mereka. Mungkin Muhyiddin dan Mahathir ingin mendalami hal sedemikian terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Rais juga mengimbau kembali nasihat Mahathir pada tahun 1993 yang pernah mempersoalkan mengapa Semangat 46 menjalin kerjasama dengan DAP dan mungkin beliau kini dapat menjelaskan kembali mengapa pendiriannya kini berubah pula.

“Beliau (Mahathir) sendiri pernah nasihat saya buat apa berganding dengan DAP, ini pada tahun 1993. Jadi kalau boleh saya bangkit, itu nasihat beliau dahulu, seharusnya beliau kena ada justifikasi mengatakan apa pendirian sekarang dan bagaimana berubah.

“Itu saya tidak dapat jawab beliau kena jawab,” katanya.-MalaysiaGazette