Faizoull Ahmad dan Muhammad Sufi Mahbub didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan wang berjumlah kira-kira RM 47.6 juta.

KUALA LUMPUR – Dua bekas pegawai kanan Felda didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan wang berjumlah kira-kira RM 47.6 juta tiga tahun lalu.

Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad didakwa atas dua pertuduhan bersubahat manakala bekas Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan Sumber Strategik) Felda, Muhammad Sufi Mahbub pula menghadapi dua pertuduhan pecah amanah.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama terhadap Muhammad Sufi, tertuduh sebagai Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik Felda didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap dana Felda dan meluluskan pembayaran berjumlah RM25,999,000 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender Felda.

Kesalahan tersebut dilakukan antara 13 Januari hingga 23 Januari 2014 di Bangunan Wisma Lembaga Tanah Persekutuan, Jalan Perumahan Gurney, Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sebagai Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik Felda didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap dana Felda dan meluluskan pembayaran berjumlah RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender Felda.

Kesalahan tersebut dilakukan antara 31 Mac hingga 23 Julai 2014 di Bangunan Wisma Lembaga Tanah Persekutuan, Jalan Perumahan Gurney, Kuala Lumpur.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun atau maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Faizoull pula dituduh bersubahat dengan Muhammad Sufi atas kedua-dua pertuduhan sama.

Dakwaan ke atas Faizoull dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Kesekaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Faizoull dan Muhammad Sufi diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-dua tertuduh juga dibenarkan membayar wang jaminan sebanyak RM500,000 pada hari ini dan selebihnya sebelum 22 Mac 2017.

Hakim menetapkan 27 April 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Ahmad Akram Gharib. – MalaysiaGazette