Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas menyifatkan tindakan peguam Siti Kasim dan Gerakan Hindu (Hindraf) mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan Malaysia dengan alasan melindungi pendakwah dari India, Dr. Zakir Naik sebagai melampau.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali turut menyelar kedua-dua pihak berkenaan kerana Dr. Zakir hadir untuk majlis ilmu, bukan mengganggu ketenteraman awam atau kaum lain.

Sambil menyifatkan perbuatan Siti Kasim dan HINDRAF itu sebagai tindakan ekstrem, mereka tidak perlu menggunakan emosi sebagai tanda protes.

“Tindakan mereka ini tidak kena tempat. Mereka sepatutnya beri ruang kepada wacana ilmu tanpa emosi. Mereka yang menolak wacana ilmu seperti Dr. Zakir itulah yang mendorong kepada ketidakharmonian,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, kehadiran Dr. Zakir Naik ke Malaysia turut mendapat tentangan dari beberapa pihak yang mendakwa kunjungannya boleh memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Berikutan itu, mereka mengemukakan saman ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia.

Menurut Dr. Khairuddin, wacana keharmonian dan keilmuan serta Dr. Zakir tidak menyerang pihak atau agama tertentu.

Katanya, pihak yang tidak berpuas hati perlu bersemuka sendiri dengan Dr. Zakir dan utarakan pandangan, bukan melakukan bantahan secara emosi. – MalaysiaGazette