Tajuddin Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Lawatan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini secara tidak langsung akan mematikan isu wang derma yang selama ini menjadi modal pembangkang menghentam kerajaan.

Malah, manfaat pelaburan diperoleh Malaysia hasil daripada lawatan ini difahamkan bernilai kira-kira RM40 bilion merupakan satu jumlah yang besar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh pembangkang sudah terjawab, malahan membuktikan Malaysia dan Arab Saudi sentiasa mempunyai hubungan yang baik.

“Jika tuduhan itu benar, mana mungkin Raja Arab Saudi mahu datang ke negara ini. Lawatan ini sepatutnya menjadikan satu jawapan kepada tuduhan dan sangka buruk yang harus rakyat terima. Ini bukan cerita tetapi realiti yang boleh dilihat sendiri.

“Seramai 600 deligasi Arab datang ke sini dan ini menunjukkan hubungan kedua-dua negara memang sangat baik.

“Sudahlah pembangkang ni.. carilah modal lain… janganlah tipu rakyat.. sempit-sempitkan fikiran rakyat… ini tidak membawa kebaikan kepada sesebuah negara dan rakyat itu sendiri,” Tajuddin dipetik berkata.

Selain itu, kritikan yang dibuat berterusan oleh pembangkang berhubung isu derma nampaknya gagal mengeruhkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, ia terbukti dengan nilai pelaburan yang besar berjaya dimerterai sepanjang lawatan tersebut.

“Kedatangan Raja Salman membuktikan bahawa kedua-dua negara mempunyai hubungan yang baik dan kerana itulah Arab Saudi telah memberikan komitmen untuk melabur di negara ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo menyifatkan cubaan pembangkang memutar-belit dengan mendakwa tiada kenyataan dari Raja Salman berhubung isu derma merupakan satu tamparan kepada kerajaan adalah langkah terdesak mereka kerana mengetahui isu tersebut sudah tidak lagi berbangkit.

““Saya kira ini adalah kenyataan paling dungu yang saya pernah dengar daripada mulut Kit Siang. Apakah dia sangka, apakah Raja Salman sebodoh pembangkang mahu bercerita tentang dana peribadi mereka secara terbuka yang diberikan untuk pemimpin Islam di seluruh negara bertujuan untuk membangun dan memperkukuhkan kedudukan Islam?” ujar Ismail.

Lebih menyakitkan hati pembangkang adalah apabila Arab Saudi sudi melabur dengan Malaysia disamping menambahkan lagi kuota haji Malaysia sebanyak 30 ribu, kata Ismail.

“Tetapi perkara itu tidak berlaku, malah kedatangan Raja Salman ke Malaysia telah memperlihatkan hubungan erat beliau dengan Datuk Seri Najib dan telah bersetuju untuk melabur sebanyak RM37 bilion ke atas projek Rapid di Pengerang itu.

“Bukan itu sahaja, bahkan beliau juga bersetuju untuk menambah kuota haji Malaysia sebanyak 30 ribu jemaah dan turut mengumumkan akan bekerjasama dalam beberapa bidang, termasuklah dalam bidang pendidikan dengan memberikan biasiswa bagi para pelajar yang melanjutkan pelajaran di negara mereka,” katanya. – MalaysiaGazette