Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) bersama Shahrir Abdul Samad (kiri) melakukan gimik Pelancaran Ikatan Hati Warga FELDA (IKTIRAF) sempena Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia di Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 3 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu warga belia Felda membantu kerajaan merampas semula enam kerusi Parlimen milik pembangkang di kawasan penempatan tanah rancangan itu.

Katanya, warga Felda dari pengurusan tertinggi hingga ke generasi belia Felda mempunyai tanggungjawab membantu kerajaan mengekalkan 54 kerusi Parlimen di kawasan Felda menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita ada 54 kerusi Felda di negara ini tetapi enam jatuh di tangan pembangkang.

“Anda sebagai tulang belakang (belia Felda) memikul amanat untuk membantu kerajaan merampas kembali enam kerusi itu,” katanya semasa berucap dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-7 Majlis Belia Felda Malaysia di sini.

Turut hadir Pengerusi Felda merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Presiden Belia Felda Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sekijang, Annuar Abdul Manaf.

Dalam merealisasikan misi itu, beliau meminta warga Felda di semua peringkat menyusun strategi yang lebih sistematik.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri mahu belia Felda terus menjadi tunjang dalam mempertahankan maruah dan imej Felda daripada dicalar pihak luar.

“Sebelum ini mereka banyak memburukkan imej Felda. Kini saya harap kepimpinan baharu di bawah Tan Sri Shahrir Abdul Samad dapat mentranformasikan Felda ke arah kecemerlangan.

“Seluruh warga Felda khususnya belia mempunyai tanggungjawab untuk merealisasikan tranformasi itu.

“Kita mahu kredibiliti Felda kembali ditegakkan seperti dahulu yang mampu berdiri sendiri dengan pengurusan mantap tanpa bergantung kepada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette