Abdul Hamid Mohamad

KUALA LUMPUR – Cubaan untuk mengambil Rukun Negara yang digubal bagi dijadikan mukadimah Perlembagaan Persekutuan dibimbangi akan disalahguna untuk menghakis hak dan kepentingan orang Melayu.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, Perlembagaan perlu dikekalkan sebagai Perlembagaan dan Rukun Negara perlu kekal sebagai Rukun Negara.

Menurutnya, apa yang penting rakyat Malaysia perlu menumpukan taat setia kepada negara dan menghormati peruntukan Perlembagaan dan hak-hak yang termaktub di dalamnya.

“Jika semua rakyat dari pelbagai kaum berbuat demikian, Malaysia akan terus aman, makmur dan tenteram.

“Rakyat bebas menjalani kehidupan mengikut agama dan budaya masing-masing disamping bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya menerusi perutusan khas yang dibacakan Presiden Perkasa, Datuk Paduka Ibrahim Ali pada Sidang Meja Bulat Perkasa, di sini hari ini.

Menurutnya, beliau amat khuatir sekiranya Rukun Negara dijadikan mukadimah yang mempunyai kuasa undang-undang dan para hakim dikehendaki menggunakannya dalam mentafsir Perlembagaan maka, akan lahirlah penghakiman yang mungkin bercanggah atau tidak selaras dengan tujuan peruntukan sedia ada walaupun mmepunyai peruntukan khusus.

Dengan memberikan contoh beliau berkata, peruntukan Perlembagaan menekankan kesaksamaan dan menghapuskan diskriminasi.

“Rukun Negara menyatakan, antara tujuan diwujudkan adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat.

“Bagaimana jika selepas Rukun Negara dijadikan muqadimah Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai kuat kuasa sebagai undang-undang utama ada pihak yang menghujahkan di mahkamah bahawa penerimaan pelajar bumiputera sahaja ke UiTM adalah satu diskriminasi yang menghalang tercapainya perpaduan bertentangan dengan klausa pertama,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa Rukun Negara diciptakan untuk membentuk satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

Mengupas lanjut, beliau menjelaskan perkataan Islam tidak langsung disebut dalam Rukun Negara.

Katanya, perkataan `tuhan’ yang disebut di dalam Rukun Negara boleh menjadi lebih daripada satu dan disebabkan itu agama tidak terhad kepada Islam.

“Oleh itu apabila Rukun Negara telah dijadikan muqadimah yang mempunyai kuat kuasa undang-undang, hujah boleh dikemukakan bahawa niat Parlimen yang memasukkannya ialah untuk menyamakan kedudukan semua agama di Malaysia.

“Saya tidak menentang jika semasa Suruhanjaya Reid menggubal Perlembagaan Persekutuan dahulu, ia meminta mengadakan mukadimah bagi Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang saya tentang ialah cubaan untuk mengambil Rukun Negara, yang digubal untuk tujuan lain dijadikan mukadimah Perlembagaan Persektuan selepas 60 tahun Perlembagaan itu berkuatkuasa,” ujarnya.

Sidang meja bulat itu diadakan bagi membincangkan wajarkah Rukun Negara dijadikan sebagai Mukadimah Perlembagaan Negara.

Antara panel yang hadir pada sidang meja bulat tersebut Penasihat Sosio Budaya kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim dan beberapa panel lain. – MalaysiaGazette