Militan IS

KUALA LUMPUR – Polis Bukit Aman berjaya menggagalkan misi dua anggota kumpulan militan IS yang merancang mahu melakukan serangan bom kereta secara besar-besaran menyasarkan kawasan Lembah Klang.

Kedua-dua suspek yang merupakan juruteknik kilang berusia 41 tahun dan seorang petani warga Indonesia berusia 28 tahun adalah antara tujuh yang ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism dalam beberapa serbuan di sekitar ibu negara dan Selangor pada 21 hingga 26 Februari lepas.

The Star melaporkan, sumbernya memberitahu, militan warga Indonesia itu dipercayai mempunyai kepakaran dalam memasang bom, dan menerima arahan dari ketua IS terkenal, Mohamad Wanndy Mohammad Jedi di Syria untuk memasang ‘Vehicle-Borne Improvised Device’ (VBIED).

“Pihak polis telah memantau militan berkenaan sejak dia memasuki Malaysia pada 18 Februari lalu. Dia ditangkap sebelum dia berjaya mengumpul bahan-bahan yang diperlukan untuk memasang VBIED,” kata sumber itu.

Rancangan suspek terbabit gagal ekoran masalah komunikasi yang dihadapi dengan Mohammad Wanndy dan tindakan pantas yang dilakukan oleh pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilapor berkata, suspek Malaysia dan Indonesia itu ditahan di Kepong pada 21 Februari lalu.

“Mereka telah diarah untuk menyediakan serangan VBIED secara besar-besaran di Malaysia sebelum ke Syria untuk menyertai IS di sana.

“Warga Indonesia itu pernah dihantar pulang dari Turki pada Jun tahun lalu selepas memasuki Syria secara haram,” katanya.

Beliau berkata, manakala lima lagi suspek militan ditahan di beberapa lokasi berlainan membabitkan seorang lelaki Asia Timur berusia 37 tahun, dan empat yang lain warga Yaman.

“Militan Asia timur itu memasuki Malaysia pada 2011 dengan menggunakan visa pelajar dipercayai palsu dan mendaftar di sebuah institusi pengajian tinggi di Lembah Klang.

“Dia dipercayai mempunyai hubungan dengan pengganas Asia timur yang menjadikan Malaysia sebagai pusat transit dan tempat persembunyian,” ujarnya.