Anggota polis berkawal di pintu masuk mahkmah Kajang sepanjang pendakwaan.

KAJANG – Seorang lelaki bergelar `Datuk’ merupakan antara 29 suspek dipercayai anggota Geng 360 Devan yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kesemua mereka dituduh terlibat dalam kegiatan jenayah terancang yang merupakan sebahagian aktiviti geng terbabit, lapor sebuah laman portal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 Januari hingga 11 Februari di pejabat MV Empayer Sdn Bhd, Japan Perniagaan Masria 1, Pusat Perniagaan Masria, Batu 9, dekat Cheras.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130 (1) Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan jenayah terancang yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Semua tertuduh mengaku faham terhadap pertuduhan yang dibacakan menerusi bahasa Tamil. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P. Kunyalam memohon kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan menggesa agar tiada wang jaminan dibenarkan ekoran kesalahan yang dilakukan tidak boleh diikat jamin.

Majistret Noridah Adam menolak ikat jamin dan menetapkan 18 April untuk sebutan kes dan memutuskan sama ada ia akan dipindahkan ke Shah Alam atau sebaliknya.

Galeri awam dipenuhi dengan saudara mara tertuduh yang ditahan sejak sebulan lalu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Februari lalu.

Lebih 10 anggota polis beruniform berkawal sepanjang perbicaraan bersama anggota berpakaian preman.