Seorang pegawai polis berpangkat inspektor diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di mahkamah bagi pertuduhan atas kes rasuah di Mahkamah Seksyen Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 08 MAC 2017.

SHAH ALAM –  Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM15,500 daripada seorang wanita.

M. Krishnan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Pertuduhan pertama, Krishnan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama kerana meminta suapan wang tunai berjumlah RM8,500 daripada Lim Bee Sin.

Tertuduh berbuat demikian bagi mengurangkan lima pertuduhan membabitkan teman lelaki wanita itu, Koay Khoon You, 23, iaitu suspek di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Krishnan didakwa melakukan kesalahan itu di IPD Klang Selatan kira-kira pukul 8.30 malam pada 13 Jan 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Krishnan didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM7,000 daripada Lim bagi tujuan sama di IPD Klang Selatan kira-kira jam 5.15 petang 14 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara maksimum selama 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tarikh 3 April depan ditetapkan sebagia sebutan semula kes.

Sementara itu dalam mahkamah sama, dua anggota dan seorang pesara polis dihadapkan atas dakwaan secara bersama menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lepas.

Sarjan Azahar Adon, 56; Koperal Rosli Bali, 55; dan pesara berpangkat koperal Yusof Ali, 61, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Ketiga-tiga tertuduh yang masih dan pernah bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, didakwa memperoleh wang itu daripada Mohd Rizal Jantan melalui seorang wanita, Mariani Ismon, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Mohd Rizal yang disyaki memiliki dan mengedar dadah.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama di perkarangan stesen minyak Petronas di Km 2, Lebuh Raya Damansara-Puchong kira-kira 5 petang pada 22 April 2015.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Hakim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin masing-masing selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Shah Alam pada Isnin pertama setiap bulan.

Beliau menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamed Heikal Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri. – MalaysiaGazette.