Azih Muda

KUALA LUMPUR – Penjawat awam perlu tahu bahawa mereka adalah bekerja untuk rakyat dan bukan menyalahguna wang rakyat untuk kepentingan diri sendiri.

Jika perkara itu dipegang dalam jati diri, sudah tentu gejala penyalahgunaan kuasa dan rasuah tidak akan berlaku dalam golongan penjawat awam daripada pelbagai peringkat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda mengakui jati diri dan sikap kenegaraan semakin menipis dalam jiwa penjawat awam sekarang berbanding golongan dahulu.

“Dulu, penjawat awam bertugas atas tanggungjawab terhadap negara. Mungkin dahulu kehidupan penjawat awam lebih sukar, lantaran itu, elemen kenegaraan sentiasa menjadi keutamaan mereka.

“Berbanding sekarang, mereka mengutamakan kepentingan diri sendiri melebihi negara.

“Apabila elemen ini menguasai diri, maka timbulkan sikap tidak amanah, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas tahap salah guna kuasa dan rasuah yang semakin serius dalam kalangan penjawat awam.

Hari ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Azam Baki berkata, gejala itu semakin meningkat berikutan kedegilan dan tindakan berani segelintir penjawat awam menyebabkan imej keseluruhan penjawat awam terjejas.

Sehubungan itu, Azih berkata, gabungan disiplin, tanggungjawab, integriti dan kebertanggungjawapan perlu diperkukuhkan dari peringkat awal persekolahan lagi.

Dan, ia mesti dilakukan secara berterusan ketika dalam jawatan sebagai usaha memperingati tentang keperluan itu kepada kakitangan awam. – MalaysiaGazette