Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang ahli perniagaan berusia 54 tahun dipercayai menjadi suspek utama dalam kes kematian seorang lelaki Melayu di sebuah kediaman di Bandar Tun Hussein Onn, awal pagi ini.

Kejadian itu berlaku di kediaman ahli perniagaan tersebut, yang juga individu yang bertindak membuat laporan polis.

Ahli perniagaan ini mendakwa mangsa, seorang lelaki Melayu telah datang ke rumahnya pada tengah malam tadi untuk berbincang.

Tetapi pada pukul 3 pagi, tiba-tiba ahli perniagaan ini terdengar bunyi letupan di tingkat atas rumah.

Ahli perniagaan ini mendakwa telah naik ke atas rumah dan mendapati simati telah terbaring di atas lantai dengan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

Sepucuk pistol pula berada di tangan.

Mangsa mati di tingkat tiga di kediaman yang dijadikan ruang beriadah milik ahli perniagaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nayan berkata, mangsa berusia 39 tahun dan beralamat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dengan terdapat satu luka tembak di bahagian tengah dahi serta sepucuk revolver di tangan kanan.

“Pasukan forensik Selangor telah dipanggil bagi membantu siasatan di tempat kejadian bersama dengan Pakar Forensik Patologi Hospital Serdang.

“Hasil siasatan yang dijalankan pihak forensik dan patologi mengesahkan bahawa terdapat keraguan dalam kematian simati yang dikatakan membunuh diri,” katanya.

Polis turut menahan 13 individu yang berada di dalam kediaman tersebut termasuk isteri dan pembantu rumah.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian. – MalaysiaGazette