Kemalangan di bawah sebuah jejantas di Lebuhraya Seleter (SLE), ke arah Woodlands ketika sekumpulan penunggang sedang berteduh dari hujan. - Foto ihsan pembaca

SINGAPURA – “Saya melihat bapa dalam klip video yang ditularkan,” menurut anak seorang mangsa yang cedera dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Bukit Timah (BKE) lewat petang semalam.

Lantas, Chin Jia Yi tertanya-tanya mengapa bapa beliau berada di kawasan kemalangan itu yang melibatkan sembilan penunggang motosikal, kesemuanya rakyat Malaysia, yang dirempuh sebuah van.

“Saya terus menghubungi ibu yang ketika itu baru sahaja menerima panggilan daripada bapa.

“Saya berasa sedikit lega kerana bapa hanya cedera di paha kiri setelah dihempap motosikal,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Hospital Khoo Teck Puat (KPTH) sementara menunggu waktu melawat bermula, ditemani ibu dan teman lelakinya.

Kata Jia Yi, bapanya mungkin akan dibenarkan dari wad keluar hari ini.

Dalam kemalangan itu, dua penunggang motosikal warga Malaysia masing-masing berusia 34 dan 50 tahun, maut di tempat kejadian.

Enam penunggang lain yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan dibawa ke KPTH untuk mendapatkan rawatan.

Media tempatan melaporkan sekumpulan penunggang motosikal sedang berteduh daripada hujan ketika kejadian rempuhan itu berlaku.

Mengimbas kembali kemalangan itu, Jia Yi berkata, menurut bapanya, dia dan beberapa lagi penunggang motosikal berhenti untuk menyarung baju hujan kerana ketika itu hujan sudah bermula.

“Bapa tiba-tiba mendengar bunyi yang amat kuat lalu rebah bersama-sama yang lain.

“Bapa cerita pada ibu, dia bernasib baik kerana berada di hujung sekali ketika kejadian berlaku,” katanya.

Bapa Jia Yi, Chin Boh Fatt, 54, bekerja di sektor pembinaan di Singapura sejak 30 tahun yang lalu.

Dia pulang awal dari kerja pada hari kejadian, kata Jia Yi, yang menetap di Skudai.

Semalam, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata pemandu van rakyat tempatan berusia 25 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

Lesen memandu lelaki itu akan digantung serta-merta, kata SPF.

— BERNAMA