S. Subramaniam

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan memberi tempoh dua hingga tiga minggu kepada ahli keluarga Kim Jong nam untuk menuntut mayat mendiang.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S Subramaniam berkata, sekiranya mayat tersebut masih tidak dituntut oleh ahli keluarga, kerajaan akan membuat keputusan apa yang perlu dilakukan nanti.

“Kita tahu Jong nam mempunyai anak dan isteri dan sekarang mayatnya telah dikenal pasti secara positif dan kami berharap menerima maklum balas daripada mereka dan kami juga mengharapkan mereka tampil untuk menuntut mayat tersebut.

“Sekiranya perkara itu berlaku, kami perlu menanganinya sebagai sebuah kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan yang akan membuat keputusan secara kolektif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Inovasi dan Kajian Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Dr. Subramaniam turut mengesahkan mayat Jong-nam masih berada di Hospital Kuala Lumpur.

Selepas polis mengesahkan identiti mayat tersebut sebagai Jong-nam yang merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara yang dibunuh di klia2, 13 Februari lalu, mayat tersebut kini diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.-MalaysiaGazette