Takiyuddin Hassan

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin menegaskan parti itu akan membuat penelitian terhadap rundingan kerjasama antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dengan perkembangan terkini, ujarnya, perkara itu penting buat Pas kerana sekiranya PPBM menjadi komponen dalam Pakatan Harapan (PH) maka parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu akan menjalinkan hubungan secara terus dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Kalau mereka buat keputusan hendak sertai PH sebagai komponen, saya rasa itu kita teliti balik (kerjasama politik). Tapi perjumpaan dengan beberapa pemimpin PPBM, mereka katakan bahawa agak sukar untuk bersama PH, itu yang diberitahu kepada kita.

“Kalau PPBM sertai PH, maka mereka akan jadi parti paling muda jadi itu yang digambarkan kepada kita. Tapi kalau Majlis Kepimpinan Tertinggi buat keputusan, perkara itu belum lagi dalam pengetahuan kami,” katanya ketika menghadirkan diri dalam Persidangan Antarabangsa Rohingya 2017.

Ujarnya, dalam rundingan yang dibuat bersama beberapa pimpinan PPBM, Pas turut mensyaratkan agar parti itu tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan DAP dan PAN dalam usaha menjalinkan hubungan dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagaimana yang dimahukan oleh Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, katanya Pas tidak boleh menghalang PPBM daripada menjalinkan hubungan dengan mana-mana parti selain Pas.

“Itu (pendirian PPBM terhadap PH) kita kena tengok. Kita telah letakkan beberapa syarat antaranya dia (PPBM) tidak boleh bersama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menyerang Pas. Itu antara prasyarat.

“Samada dia nak adakan hubungan dengan PH, itu hak mereka. Tapi jangan bersama PH untuk menyerang kita,” katanya.

PPBM menerusi Pengerusinya, Dr Mahathir menyatakan bahawa pemimpinnya sebulat suara bersetuju untuk membentuk gabungan rasmi dengan PH.

Di bawah cadangan itu, PKR, DAP, PAN dan PPBM akan menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang di bawah satu logo, satu manifesto, dan seorang calon bagi setiap kerusi yang mereka putuskan untuk bertanding.

Cadangan itu masih belum dibentangkan kepada PH, tetapi Pengerusi PPBM itu memberitahu bahawa gabungan tiga pihak sudah tahu mengenainya

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, rundingan dengan PPBM mungkin tidak dapat direalisasikan sekiranya PPBM berkeras mahu menyertai PH.

“Kalau itu keadaannya apa yang dihasratkan oleh mereka mungkin tidak dapat dilaksanakan (dengan Pas).

“Kita ada hubungan dengan satu parti jadi jika dia ada hubungan dengan parti lain itu kita tidak dapat halang. Dalam keadaan sekarang PPBM bukan salah satu daripada komponen PH, mereka hanya menandatangani satu persefahaman untuk kerjasama politik dan bukan sebahagian daripada PH,” katanya. – MalaysiaGazette.