Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini menyatakan pendirian untuk bersama dengan pakatan harapan di bawah satu nama khas.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun belum ada lagi ketetapan berhubung perkara berkenaan kerana mahu menyesuaikan nama bagi tujuan tersebut.

“Kita bersetuju dengan polisi dan akan membuat satu logo atau simbol untuk pilihan raya.

“Kita juga mahu ada satu manifesto dan bersetuju untuk meletak hanya satu calon sahaja untuk mewakili gabungan ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PPBM di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, parti-parti gabungan akan mendesak ahli-ahlinya supaya mengundi calon yang telah ditetapkan dan beliau percaya ia akan dipersetujui.

“Saya yakin mereka akan sedar kerana kekalahan dahulu adalah disebabkan mereka berada dalam satu badan tetapi tidak menggunakan satu simbol,” ujarnya.

Sebelum ini, PPBM mengumumkan masih belum menyertai pakatan pembangkang dan hanya menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan.

Antara kandungan perjanjian itu ialah kedua-dua parti bersetuju untuk meletakkan satu calon bagi mewakili Pakatan Harapan-PPBM di semua peringkat dalam pilihan raya umum. – MalaysiaGazette