Ramesh Rao Krishnan Naidu

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa ada pihak-pihak tertentu cuba menggagalkan usaha kerajaan untuk membuka semua kes siasatan Bumiputera Finance Malaysia (BMF), Jalil Ibrahim dan skandal dagangan mata wang asing pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Presidennya, Ramesh Rao mendedahkan, pihaknya menerima maklumat berkenaan daripada sumber yang ada kredibiliti dan difahamkan melibatkan satu gerakan yang besar.

“Kami ada maklumat bahawa kini ada gerakan yang cuba dilakukan untuk menghalang siasatan skandal BMF dan skandal pertukaran mata wang asing daripada diteruskan.

“Ada cubaan pihak tertentu cuba berunding dengan Interpol (polis antarabangsa) untuk tidak membuka semula kertas siasatan kerugian BMF dan pembunuhan Jalil Ibrahim di Hong Kong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramesh mendakwa tindakan itu mungkin ada kaitan dengan sesetengah pihak di negara ini yang takut sekiranya kes-kes berkenaan dibuka semula kerana ia melibatkan banyak nama-nama besar dalam politik dan perniagaan di Malaysia.

“Kes BMF dan pembunuhan Jalil Ibrahim serta kes forex melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sudah pasti dibuka untuk siasatan supaya integriti Interpol tidak terjejas seterusnya kerana kesilapan yang lepas,” katanya.

Ramesh yakin kes berkenaan akan dibuka semula dan ia akan dijalankan secara terperinci termasuk dakwaan Mahathir sebelum ini yang mendakwa CIA berniat jahat mengaitkan dirinya dengan kes berkenaan.

“Orang semua tahu, nada kenyataan Mahathir (mengenai kes-kes itu) itu ada kebimbangan kerana bimbang penglibatannya dalam skandal berkenaan akan terbongkar dan kini beliau tidak ada kuasa untuk menghalang apa-apa kerana beliau bukan perdana menteri lagi,” kata Ramesh.

Jalil Ibrahim dibunuh di Hong Kong pada tahun 1983 selepas beliau dipercayai tahu skandal antara BMF dan sebuah syarikat perniagaan Carrian Group yang berpangkalan di Hong Kong.

Ketika dokumen CIA itu didedahkan di media, Mahathir dengan segera menyalahkan CIA dengan mendakwa agensi itu mempunyai niat jahat ke atas dirinya kerana Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu dikatakan kerap mengkritik negara AS dan agensi berkenaan.

Pada Selasa, pasukan petugas khas yang menyiasat kerugian pertukaran mata wang asing BNM sekitar tahun 1990-an mengumumkan pelantikan enam anggotanya.

Mereka adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Azam Baki, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah San dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Turut dilantik adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, Pengerusi Bersama, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon dan peguam kanan, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang juga adalah rakan kongsi di Tetuan Jahaberdeen & Co. -MalaysiaGazette.