S. Subramaniam bersalaman dengan peserta Forum Penjagaan Kesihatan 2017 di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 16 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan sedang mengkaji modul baharu untuk menyelesaikan peningkatan kos perubatan di negara ini, kata Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam hari ini.

Kata beliau, satu sistem penyelarasan jangka panjang diperlukan kerana kos kesihatan semakin meningkat dan mencabar rakyat.

Tambah beliau, antara faktor penyumbang kepada peningkatan kos perubatan ialah kemajuan teknologi yang mahal, peningkatan jangka hayat, peningkatan populasi warga emas, peningkatan masalah kesihatan dan ubat-ubatan baharu yang lebih mahal.

“Lebih kurang 15 tahun lalu, perbelanjaan individu sudah meningkat dua kali setengah iaitu daripada RM641 per kapita kepada RM1,624 per kapita pada tahun ini dan ia dijangka terus meningkat.

“Kerajaan menanggung 52 peratus kos perubatan manakala swasta sebanyak 48 peratus, sekali gus menyaksikan jumlah kos perbelanjaan kesihatan setahun berjumlah RM42 bilion untuk tahun 2015.

“Apa yang dibelanjakan oleh kerajaan adalah tidak cukup untuk memenuhi keperluan kesihatan rakyat, dan kini wujud keperluan untuk melihat modul baharu bagi memastikan rakyat sentiasa sihat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Forum Penjagaan Kesihatan 2017 di sini.

Dalam perkembangan sama, Subramaniam berkata, walaupun kerajaan mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan bertaraf tinggi, ia harus dipertingkatkan lagi selaras dengan gaya hidup dan kehendak kesihatan rakyat.

“Dalam hal ini peranan sektor swasta mengenai penjagaan kesihatan penting untuk melihat penyelesaian jangka masa panjang dan saya percaya kerjasama boleh diwujudkan,”katanya. – MalaysiaGazette