Abd. Latif Bandi disambut oleh ahli keluarganya ketika tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen/Majistret dekat sini, pagi ini.

JOHOR BAHRU – Selepas direman selama seminggu sejak 10 Mac lalu bagi siasatan skandal rasuah dan penyelewengan hartanah negeri ini, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd. Latif Bandi dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Abd. Latif, 51, dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000.

Permohonan membebaskan reman dilakukan Penolong Penguasa SPRM Johor Yunus Mohamed dan dibenarkan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rendah Johor Bahru Saba’aton Daud.

Terdahulu exco tersebut tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen/Majistret di sini, kira-kira 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda SPRM.

Beliau memakai baju T lokap SPRM berwarna oren kelihatan tenang ketika diiringi anggota SPRM.

Selepas prosiding selama 15 minit di bilik pendaftar, Exco berkenaan dibawa menaiki kenderaan sama untuk dibawa ke pejabat SPRM Johor, di sini.

Abd. Latif yang bercuti daripada tugas rasmi kerajaan negeri sejak 1 Mac sehingga siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah itu selesai, ditahan SPRM di pejabat agensi itu, di sini, pada 9 Mac lalu ketika hadir memberikan keterangan berhubung skandal terbabit.

SPRM kemudian turut menggeledah rumah Exco terbabit dan merampas wang tunai RM41,000, 150 beg tangan pelbagai jenama serta sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dua hari lepas, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menolak permohonan exco tersebut untuk menyemak semula tempoh reman yang dikenakan ke atasnya mulai 10 Mac itu. – MalaysiaGazette