Ahmad Zahid Hamidi. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Urusan pengurusan mayat Kim Jong-nam akan dirujuk kepada pengetahuan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dilakukan kerana mayat abang tiri pemimpin Korea Utara itu masih tidak dituntut sehingga ke hari ini.

“Kita akan dapatkan nasihat daripada Peguam Negara untuk menentukan (langkah seterusnya urusan mayat Jong-nam),” jelas beliau ketika ditemui di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, Korea Utara tidak dibenarkan menuntut mayat Jong-nam melainkan atas permintaan waris terdekat mendiang.

Pada Isnin lalu, Kementerian Kesihatan belum memutuskan sebarang tindakan bagi pengurusan mayat Jong Nam, warga Korea Utara yang dibunuh di negara ini.

Mengulas lanjut mengenai sampel DNA yang mengesahkan mayat tersebut adalah Jong-nam, Ahmad Zahid berkata, proses itu dapat dilakukan setelah pihak berkuasa menemui sendiri anak lelaki Jong-nam di sebuah negara yang dirahsiakan.

“Kita ambil sampel daripada anak lelaki beliau yang berada di negara.. (sama ada dari Jepun) saya tak boleh dedahkan..kita pergi ke sana. Jenis sampel yang digunakan, saya tak boleh dedahkan.

“Saya ingin sahkan sekali lagi, DNA telah diambil dan dibawa balik ke Malaysia dan telah dibuat perbandingan memang mayat itu adalah Kim Jong-nam,” jelasnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sebelum ini berkata, kementeriannya belum memutuskan sebarang tindakan bagi pengurusan mayat Jong-nam, warga Korea Utara yang dibunuh di klia2 13 Februari lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memaklumkan mayat Jong-nam diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk urusan seterusnya kerana tidak ada waris yang menuntutnya setakat ini. -MalaysiaGazette.