Dr. Daroyah Alwi

SHAH ALAM – Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) memperkenalkan Rumah Transit Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) kepada mereka yang berurusan di mahkamah Syariah negeri, tetapi tinggal jauh dan menghadapi masalah kewangan untuk tinggal atau menyewa hotel.

BSK juga antara program ‘fast track’ kerajaan negeri yang diperkenalkan Jakess dalam usaha mempercepatkan perjalanan kes dan mengurangkan bilangan kes tertunggak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Daroyah Alwi, menerusi BSK juga, mahkamah syariah dapat mengadakan sesi perbicaraan pada sebelah malam atau ‘Night Court’ bagi membantu mereka yang sukar menghadiri prosiding pada waktu siang.

“Malah, Jakess turut memberanikan diri menerokai bidang inovasi dalam aspek teknikal melalui projek Kit Mahkamah Bergerak atau Mobile Court Kit (MCK).

“MCK adalah peralatan dicipta untuk kemudahan atau fungsi mahkamah bergerak secara praktikal dan boleh dibawa ke mana-mana bagi prosiding mahkamah di luar bangunan seperti di perkampungan Orang Asli, hospital atau rumah mereka yang tidak dapat hadir atas sebab sakit atau cacat anggota yang menghalang mereka hadir ke mahkamah,” katanya kepada media di sini, semalam.

Menurut Dr. Daroyah, perubahan itu diketengahkan Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang memperlihatkan perkembangan positif dalam institusi kehakiman Syariah.

Katanya, ia juga memberi banyak kemudahan, sekali gus keadilan kepada semua pihak melalui jaminan perkhidmatan yang terbaik, cepat, efektif dan efisien.

“Golongan wanita di negeri ini tidak perlu merasa berat hati untuk hadir ke sana (mahkamah syariah) bagi menyelesaikan urusan melibatkan hukum dan undang-undang.

“Bahkan, mereka boleh meletakkan kepercayaan dan keyakinan dalam menjaga hak serta kebajikan para wanita serta keluarga.

“Institusi kehakiman ini juga menjadi tempat rujukan mendapatkan khidmat nasihat dan menyelesaikan masalah rumah tangga serta menyelamatkan umat Islam daripada perpecahan dan keruntuhan rumah tangga,” ujar beliau. – MalaysiaGazette